Pelakon Sara Ali mengidamkan watak aksi dalam lakonannya.

Menurut Sara, watak aksi yang dimaksudkan bukan hanya melibatkan aksi fizikal semata-mata, malah ia memerlukan penjiwaan mendalam dari segi psikologi.

"Setelah 10 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, salah satu watak idaman saya yang jarang saya dapat adalah aksi.

"Bagi saya, watak aksi bukan sekadar kita berlakon lawan orang, ia turut membabitkan psikologi.

"Saya teringin melakonkan watak aksi yang perlukan unsur psikologi sebegitu, sebagai contoh, satu situasi yang kita susah nak bayangkan dan tak pernah lalui pun sebelum ini," katanya kepada Gempak.

Tambah Sara, watak aksi di luar kotak fikiran mampu mencabar keupayaannya sebagai seorang pelakon.

"Dengan mencuba watak aksi seperti itu, sudah tentu ia mencabar kebolehan saya sebagai seorang pelakon.

"Saya bagi satu situasi, pernah tak kita bayangkan pesawat yang kita naiki terhempas dan kita selamat, jadi bagaimana saya mahu selami watak itu dengan berkesan? Sudah tentu ia memerlukan unsur psikologi kerana situasi begitu adalah di luar kotak pemikiran kita," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sara kini tampil dalam drama bersiri Tanya Sama Pokok arahan sabri Yunus.

Ia ditayangkan bermula 21 September 2020, setiap Isnin, jam 9.00 malam di Astro Warna (saluran 127) dan Warna HD (saluran 107).

Selain Sara, Tanya Sama Pokok turut menampilkan barisan pelakon terkenal lain seperti Sabri Yunus sendiri, Datuk Fizz Fairuz, Mona Allen, Angeline Tan dan ramai lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!