Hiburan
"Satu Keputusan Aku Buat Tanpa Restu Mak Ayah Aku ..." - Erma Fatima Buka Balik Cerita Umur 20 Tahun
Sutradara dan aktres popular Erma Fatima mendedahkan dia tidak mendapat restu daripada kedua-dua orang tuanya untuk menceburkan diri dalam dunia seni.
Nekad untuk bergelar pelakon, kata Erma dia ingin mencari sumber pendapatannya sendiri ketika berusia 20 tahun.
"Aku lalui peringkat demi peringkat, aku jatuh, bangun, tetapkan masa depan aku dari umur 20 tahun.
"Satu keputusan yang aku buat tanpa restu mak ayah aku untuk masuk dalam industri seni ini.
"Aku nekad dan aku nak buktikan aku akan berjaya. Inspirasi aku adalah mak dan ayah aku.
"Aku nak cari duit sendiri, aku tak nak susahkn mereka, nak beli apa yang aku nak dengan duit aku sendiri," kongsi Erma menerusi entri di Instagram.
Tambah Erma, matlamat utamanya bergelar anak seni demi membahagiakan keluarga dan memberikan kesenangan kepada ibu dan bapanya.
"Dari mula aku kerja sampai sekarang aku tak perlu lagi duit ringgit mak ayah aku.
"Aku hanya perlu bagi mereka keselesaan dan kebahagiaan.
"Perjalanan untuk aku sampai jadi apa yang aku nak jadi hari ini adalah ilmu yang tak ternilai harganya," tambahnya.
Erma berkongsi kisah hidupnya sambil berkongsi sepotong rakaman video seorang pakar motivasi dari negara China yang bercerita tentang matlamat hidup setiap 10 tahun.
Kisah berinspirasi daripada hidup Erma itu sedikit sebanyak menyuntik semangat daripada peminatnya di media sosial.
Must-Watch Video