Penyanyi dan juri tetap program realiti aneka bakat Ceria Megastar 2020, Ernie Zakri menyatakan walaupun kelebihannya dari segi nyanyian tetapi dari segi pemarkahan dia memandang sudut keseluruhan persembahan.

Jelas Ernie, kesemua peserta perlu kreatif dan bijak mempersembahkan bakat yang ada kepada juri-juri.

"Walaupun saya akan memberi fokus kepada sudut nyanyian tetapi senang cerita ini adalah satu persembahan.

"Bila mereka berada di atas pentas, mereka kena persembahkan bakat yang ada. Mereka perlu gunakan bakat yang ada itu untuk menarik perhatian juri-juri.

"Dari susun atur persembahan, macam mana mereka uruskan penonton itu semua dititiberatkan.

"Saya akan memberi komen bukan sahaja disebabkan bakat tetapi dari sudut macam mana dia persembahkan," katanya kepada Gempak.



Tambah pelantun lagu Ku Bersuara ini, dia teruja untuk menonton persembahan peserta-peserta pada minggu kedua.

"Saya tak sangka persembahan minggu pertama ini seronok walaupun mereka masih junior tapi matang di atas pentas. Memang 'wow'.

"Jadi apa lagi yang akan berlaku pada minggu seterusnya membuatkan saya tidak sabar menanti," katanya lagi.



Membawa sedikit kelainan bagi ‘Ceria Megastar 2020’ kali ini adalah Konsert Penentuan 1 dan 2, di mana pada minggu pertama dan kedua ‘Ceria Megastar’, kesemua 20 peserta akan berentap bagi menempah tempat di pentas utama (dibahagikan kepada 10 peserta untuk setiap episod).

Hanya 10 peserta terbaik akan dipilih berdasarkan markah paling tinggi yang diadili 100 peratus oleh pihak juri.

Pengumuman nama 10 peserta yang bakal ke peringkat seterusnya akan dibuat pada segmen terakhir episod kedua.

Selain Ernie, juri tetap bagi musim ini adalah Zizan Razak manakala Shuib Sepahtu diundang sebagai juri profesional bagi minggu pertama dan kedua.

Menariknya selain Nabil Ahmad, kali ini Ceria Megastar turut dikendalikan oleh pengacara dan pelakon Raja Azura.

Dalam pada itu, penyanyi dan guru vokal terkenal Datuk Syafinaz Selamat, koreografer dan penari terkenal, Alam Wakaka serta juara Ceria Megastar 2018, Chubb-E dipilih sebagai penasihat persembahan.

Komposer terkenal, Datuk Acis pula menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi musim kali ini sama seperti musim lalu.

Ceria Megastar 2 bermula pada Sabtu, 29 Februari 2020, jam 9 malam.

Program ini ditayangkan secara langsung menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Astro Ceria HD (631).

Ceria Megastar 2 juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand.