HIBURAN
“Saya Akan Tinggalkan Dunia Lakonan, Sekiranya Saya Betul-Betul Mahu Berhijrah” - Hannah Delisha
Pelakon jelita, Hannah Delisha mengakui akan meninggalkan dunia lakonan sekiranya mahu bergelar seorang muslimah sejati.
Kata Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 29 buat ketika ini dia masih lagi mencuba untuk kekal beristiqamah kerana niatnya untuk berubah adalah atas usaha diri sendiri.
“Mungkin orang lihat saya pakai tudung, terus saya nak berubah sepenuhnya. Sejujurnya saya pun masih mencuba. Saya pakai tudung pun sebab saya sendiri nak pakai, tiada paksaan.
“Sekiranya saya betul-betul nak berhijrah, memang saya tidak mahu lagi berada di dalam industri ini. Saya akan berhenti berlakon. Saya rasa itu cara terbaik untuk berhijrah,” ujarnya ketika ditemui sewaktu majlis sidang media Drama Dendam Seorang Madu di Shah Alam pada Rabu lalu.
Ketika disoal mengenai adakah dia senang melakukan babak bersentuhan bersama pelakon lelaki, pelakon filem Langsuir itu bagaimanapun menyatakan rasa pelik kerana perkara tersebut tidak pernah menjadi persoalan sekiranya seseorang aktres itu tidak berhijab.
“Kenapa soalan yang sama tidak ditanya kepada pelakon wanita yang tidak berhijab? Adakah mereka boleh bersentuhan dengan pelakon lelaki?
“Pada hujungnya, saya seorang pelakon. Kalau ada babak yang boleh elak, saya akan elak. Tetapi kalau tiada pilihan memang terpaksa lakukan.
“Contohnya kalau babak pengsan ataupun tersentuh. Itu memang tak boleh dielakkan,” katanya lagi.
BERITA TRENDING: Ellie Suriaty Buat Laporan Polis, Tuntut Ibu Bapa
BERITA TRENDING: "Tak Solat Ke Datin?" - Netizen Persoal Ibadah
Dendam Seorang Madu
Dalam perkembangan lain, Hannah Delisha bakal membintangi drama terbaharu ‘Dendam Seorang Madu’ sebuah
drama yang membawa genre konflik kekeluargaan.
Drama ini bakal menemani para penonton sepanjang bulan Ramadan ini, di saluran Astro Prima (saluran 105) bermula 3 Mac 2025, Jam 6 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.
Menyentuh isu pengurusan harta peninggalan dan disulami kemas dengan konflik perkahwinan bermadu pada luaran menjadi tunggak penceritaan drama ‘Dendam Seorang Madu’
Drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini telah mendapat sentuhan daripada pengarah drama nombor 1 Malaysia, Riza Baharuddin yang berjaya mengangkat drama ‘Andai Tiada Dia’ sebagai drama nombor 1 dalam sejarah kandungan Melayu Astro (2024).
Selain Hannah, barisan pelakon yang membintangi drama ini adalah, Redza Rosli (Faris Alfian), Sweet Qismina (Izara) dan Emelda Rosemila (Hanum).
Runut rasmi bagi OST drama ini berjudul ‘Tipu Helah’ dinyanyikan oleh Hannah Delisha turut mengiringi para penonton sepanjang drama ini bersiaran