Hiburan
"Saya Ambil Tawaran, Tetapi..." - Zoey Rahman Masih Aktif Dalam Bidang Seni
Pelakon dan usahawan Zoey Rahman menangkis tanggapan sesetengah pihak yang menganggap dia sudah berhenti berlakon.
Jelas Zoey atau nama sebenarnya, Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 35, dia hanya memperlahankan kerjaya seninya untuk memberikan fokus terhadap bidang perniagaan.
Kini, Zoey sukses dengan produk kosmetik dan kecantikan miliknya, Mikaseries For Superstar.
"Alhamdulillah, bisnes semakin baik. Saya akui bisnes saya bermula dengan perlahan tetapi kami mementingkan kepercayaan pelanggan.
"Syukur kerana semenjak ia ditubuhkan pada 2015, bisnes saya semakin mendapat perhatian.
"Ada yang tanya adakah saya tak aktif berlakon? Sebenarnya, saya masih mengambil tawaran, tetapi tiga tahun kebelakangan ini, saya turut memberikan fokus terhadap bidang perniagaan.
"Sebenarnya, saya masih aktif berlakon. Saya baru sahaja menjalani penggambaran untuk sebuah telefilem siaran RTM.
"Dalam masa terdekat, saya akan kembali ke set penggambaran siri Black untuk musim kedua yang bakal bersiaran di Viu," kata Zoey.
Dalam pada itu, Zoey lebih selesa untuk tidak memperkatakan mengenai status dirinya yang didakwa kini sudah bergelar jutawan.
"Saya kalau boleh enggan cakap mengenai status. Jutawan atau tidak, biarlah produk yang saya usahakan menonjol ke hadapan, bukan diri saya sendiri.
"Saya tahu sesetengah pengasas lebih suka dia menonjol dalam perniagaan. Itu stratergi masing-masing tetapi saya pula mahu produk yang lebih mendapat perhatian berbanding diri sendiri.
"Sebagai contoh, kalau kita lihat kepada jenama hebat lain yang berstatus antarabangsa, ramai orang yang tidak tahu pun siapa pengasas produk terbabit.
"Jika boleh, biarlah saya kekal begini seperti Zoey Rahman yang semua orang kenali. Cukuplah seadanya sahaja," jelasnya lagi.