Bekas suami Lufya Omar, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum tampil mendakwa dirinya difitnah berkenaan isu nafkah anak.

Dr Che Hafiz menegaskan kenyataan yang dibuat Lufya sebelum ini adalah palsu dan sama sekali tidak benar.

"Pertama kali saya tidak hairan jika Lufya sanggup berbohong membuat kenyataan yang palsu yang berunsur fitnah kepada masyarakat.

"Saya lebih mengenali siapa diri dia. Tidak perlu untuk saya terasa atau berasa marah kepada netizen yang memberi reaksi seakan-akan membenci dan tidak menyokong kepada belah pihak saya seperti isu soal nafkah anak.

"Sebab apa-apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh dia adalah tidak benar sama sekali dan sudah diubah mengikut kehendak dia sendiri," katanya.

Che Hafiz berkongsi kenyataan berkenaan di akaun Instagram miliknya sebentar tadi.

Menerusi entri yang sama dia memuat naik gambar laporan polis yang dibuat dipercayai ada kaitan mengenai kenyataan bekas isterinya yang berunsur fitnah.

Jelas Che Hafiz, dia maklum akan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah anak malah dia bersama bekas isteri telah memberikan penyelesaian yang terbaik buat anak mereka Laana Haura, 4.

"Soal isu pemberian nafkah anak.Saya sebagai seorang bapa kandung sudah pasti saya tahu akan tanggungjawab saya dan sudah tentu saya tidak akan abaikan anak saya sendiri.

"Saya dan bakal Isteri niat kami cuma nak cari jalan penyelesaian yang baik untuk Haura dan sudah cuba yang terbaik untuk berbincang dengannya (Bukti ada) tetapi telah ditolak malah dibalas dengan kata-kata yang kurang sopan dan juga fitnah.

"Saya ada bukti yang kukuh untuk diberikan kepada pihak Mahkamah. Jadi saya harap dia gunakan saluran yang betul dan bukannya jadi seperti budak-budak main lepas perasaan di media sosial yang dimana perkara sebegini boleh menimbulkan spekulasi yang salah oleh masyarakat terhadap saya," jelasnya panjang lebar.

Tambah Che Hafiz dia tidak hairan dengan sikap Lufya yang selama ini didakwa suka melontarkan kata-kata fitnah dan aib terhadap dirinya kerana sudah mengenali sikapnya.

"Saya lebih mengenali siapa diri dia dan aib dia juga selama ini saya simpan.Tidak pernah saya dedahkan di media sosial malah saya rasa tiada keperluan untuk menceritakannya sebab dia bukan lagi Isteri saya yang sah dan kami pun sudah lama bercerai bukan baru bercerai 2,3 bulan.

"Saya rasa dia sudah melampau dan saya harap dia dapat menggunakan saluran yang betul bagi menyelesaikan isu yang ada dan jika benar dia ingin selesai Isu tersebut dengan baik.

"Be more professional dan jangan libatkan orang yang tidak sepatutnya seperti keluarga saya dan juga bakal Isteri.Sekian…," luahnya.

Terdahulu, Lufya dalam satu kenyataan mendakwa sukar untuk menuntut nafkah anaknya di mahkamah selepas berhadapn dengan peguam yang tidak bertanggungjawab.

Malah mendakwa bekas suaminya culas dalam memberi nafkah serta memberi dalam amaun yang tidak mencukupi.

Che Hafiz dan Lufya pernah mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia empat tahun.

Lufya dan Hafiz yang merupakan seorang doktor bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.