“Saya dah boleh tukar nama dalam kad pengenalan lepas ini kot,” seloroh pelakon Naim Daniel ketika ditanya mengenai nama wataknya iaitu Ayam dalam siri fenomena Astro Originals, Projek High Council (PHC).

Menjelaskan mengenai watak itu, Naim berkata dia tidak kisah sekiranya ada peminat yang memanggilnya dengan nama tersebut sebaliknya berasa gembira kerana dihargai.

“Semua orang panggil saya Ayam tapi bagi saya itu adalah perkara yang baik sebab saya percaya itu adalah cara mereka menyampaikan penghargaan terhadap kerja saya.

“Saya tidak marah sebab itu tandanya Ayam berjaya memberikan impak dan meninggalkan memori kepada peminat drama,” katanya ketika ditemui Gempak.

Dalam pada itu, Naim juga turut melahirkan rasa terima kasih kepada peminat kerana naskhah Projek High Council diterima ramai.

“Sebagai anak seni, kita cuba untuk membuatkan orang di luar sana terkesan dengan gerak kerja kita.

“Jadi untuk saya, saya bangga mengatakan Ayam ini sampai bila-bila pun saya tidak kisah,” ujarnya.

Selain Naim, PHC yang kini menjadi antara drama kegilaan ramai turut dibintangi oleh Amir Ahnaf, Mierul Aiman dan Nadhir Nasar.

Kepada yang belum menonton drama fenomena ini, saksikan secara strim di Astro On Demand atau Astro GO.