Penyanyi Ikhwan Fatanna berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pengacaraan walaupun tidak mempunyai pengalaman bergelar pengacara sebelum ini.

Menurut Ikhwan, dia berminat untuk mengacarakan program percutian memandangkan dia sendiri suka melancong.

"Kebolehan saya setakat ini memang lebih ke arah bidang nyanyian dan menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.

"Saya belum berani untuk menceburi bidang lain kecuali pengacaraan, saya berminat untuk mengacara walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan.

"Jika berpeluang, saya ingin mengacarakan program percutian memandangkan saya sendiri suka melancong dan sentiasa menyukai 'travelogue' yang dihasilkan oleh orang lain," katanya kepada Gempak.

Ikhwan ditemui di majlis Zayan Marhaban 2019 bertempat di Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Majlis itu diadakan di rumah peminat Zayan yang telah memenangi penyertaan slogan menarik yang diadakan pada bulan Ramadan lalu.

Antara aktiviti yang diadakan adalah selawat, solat berjemaah, sesi beramah mesra dan persembahan artis jemputan.

Zayan Marhaban 2019 ini akan diteruskan lagi pada 29 Jun ini di rumah peminat Zayan yang seterusnya.