Berkat doa keluarga dan peminat, pelakon Kilafairy akhirnya mengambil keputusan untuk istiqamah berhijab sejak empat hari lalu.

Kata Kilafairy, 28, keputusannya itu tidak dipengaruhi oleh sesiapa dan dirasakan sudah tiba masanya untuk menutup aurat lebih sempurna.

"Bagi saya bertudung itu memang wajib, tunggu masa sahaja dan sekarang hati saya sudah terbuka.

"Memang sudah lama saya nak pakai, sejak dari tahun lepas lagi. Tetapi saya perlahan-lahan memperbaiki cara pemakaian terlebih dahulu.

"Teruskan doa hari demi hari dan sekarang Alhamdulillah sampai masanya terbuka hati," katanya kepada Gempak.

Tentang proses hijrahnya kata pelakon itu lagi, dia memilih untuk tidak berkongsi lebih lanjut kepada khalayak.

"Biarlah selebihnya itu hanya saya yang tahu. Saya buat kerana Allah," tambahnya.

Kilafairy bersyukur kerana urusannya turut diiringi doa kedua ibu bapanya.

"Mereka tersangatlah gembira apabila dapat tahu saya bertudung dan selama ini pun mereka tak pernah paksa saya.

"Mungkin sebab itu juga hati saya lembut," katanya lagi.



Terdahulu, pengacara popular Neelofa berkongsi sepotong video memaparkan imej baharu Kilafairy serta mengumumkan pelakon itu kini telah berhijab.

BACA: Auranya Lain Macam! Kilafairy Dah Berhijab, Neelofa Doa “Semoga Kau Sentiasa Istiqomah”