“Saya Buat Live TikTok Hari-Hari, Ramai Yang Maki Hamun” - Noraniza Idris
05/09/2024 07:55 MYT
Penyanyi Noraniza Idris mendedahkan jualan tiket konsert Qalam Noraniza Idris terjejas gara-gara kontroversi penarikan diri bekas pengarah persembahan dan penulis skrip konsert tersebut.
Netizen Maki Hamun
Menurut Noraniza atau mesra disapa Kak Ani itu berkata, dia juga turut menerima kecaman daripada kalangan warganet terutamanya ketika bersiaran langsung di TikTok.
“Reputasi saya terjejas apabila isu ini disebarkan sehingga menyebabkan jualan tiket konsert saya terjejas selama tiga hari.
“Saya buat live di TikTok hari-hari. Saya terima banyak maki hamun yang teruk. Daripada seorang yang hormat kita terus berubah jadi lain. Nasib saya lah, saya anggap dia ada masalah.
“Saya sedang berbincang dengan keluarga tentang isu ini, jadi tunggu sahajalah,” katanya kepada Gempak.
Kecewa Tidak Profesional
Ujar pelantun lagu Hati Kama itu lagi, dia mengakui kesal dengan sikap tidak profesional Anwar Rusdini yang menyebarkan perkara dalaman produksi di media sosial tanpa perbincangan.
“Kalau ikutkan hati, memang saya ingin maafkan sahaja. Tetapi jika saya terus berdiam, orang akan berulang kali ambil kesempatan. Kita tengoklah macam mana.
“Dia tidak profesional, tidak sepatutnya isu ini dia sebarkan dalam media sosial, seharusnya jumpalah saya secara berdepan.
“Apapun saya tidak meletakkan harapan agar dia tampil berbincang masalah ini. Dia yang buat keputusan untuk tarik diri jadi, terpulang kepada dia jika hendak selesaikan hal ini. Paling mengecewakan apabila dia memilih untuk selesaikan hal ini di media sosial. Itu ibarat memfitnah.
“Dia kena hentikan tindakan memburukkan saya, bukan sahaja di media sosial, tapi juga kepada orang-orang yang dekat dengan saya,” ujarnya.
Sebelum ini, Noraniza terpalit kontroversi apabila timbul dakwaan dia memecat Anwar Rusdini yang sebelum ini bertindak sebagai pengarah persembahan dan penulis skrip konsert Qalam Noraniza Idris.