Peserta Hero Remaja 2020 Imran Aqil memohon maaf kepada semua wargamaya apabila videonya keluar berdua semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tular.

Menerusi laman sosial Twitter, Imran memuat naik sebuah video permohonan maaf secara terbuka serta penjelasan di sebalik tindakan tersebut.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana melanggar arahan PKP. Sejujurnya saya tiada niat untuk mengguris hati mana-mana pihak.“Sebenarnya kami keluar berdua bukanlah semata-mata untuk Tealive tetapi kami baru sahaja pulang dari balai polis dan pasar raya untuk mendapat cop kebenaran polis bagi pelepasan pengagihan topeng muka.

“Di pasar raya, kami membeli barangan keperluan seperti minyak, beras, gula, garam untuk memberi sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan warga asnaf pada 20 April.

“Alang-alang kami dah keluar, kami singgah Tealive sebab dahaga,” kata Imran.

Menerusi penjelasan itu juga, Imran turut mengharapkan penjelasan tersebut mampu mengubah persepsi buruk wargamaya terhadap dia dan pakciknya.

Meninjau ke ruangan Twitter, video berdurasi hampir dua minit itu mendapat pujian wargamaya.

“Netizen teruk. Setidaknya awak dah buat bahagian awak sebagai manusia. Takpe bro, teruskan buat amalan yang baik,” kata seorang wargamaya.

“Good job anak muda. Minta maaf tak semestinya kau salah tapi lebih pentingkan kedamaian gitu,” komen seorang wargamaya lagi.

“Penjelasan yang bagus. Kalau diorang tak faham jugak tak tahu la! Keep strong,” puji seorang wargamaya.

“Sekarang kebenaran telah diketahui. Berhentilah kecam Imran lagi ye sekalian,” pinta seorang wargamaya lagi.

Terdahulu, Imran terkandas di pusingan separuh akhir Hero Remaja 2020 apabila namanya diumumkan sebagai peserta tersingkir.