BERITA
"Saya Dengar Tangisannya Pada Pukul 9.38 Malam" - Juliana Evans Kongsi Video Detik Bersalin Puteri Sulung
Pelakon dan pengacara Che Puan Juliana Evans mengimbau detik-detik kenangan sewaktu dirinya menyambut kelahiran anak sulungnya, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah.
Juliana atau nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans, 30, berkongsi hal tersebut menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram TV (IGTV) miliknya.
"Pastinya tidak akan dilupakan detik 12 Julai 2019. Hari yang paling gembira dan kesakitan yang sukar digambarkan yang saya pernah rasai tetapi semuanya berbaloi sebaik sahaja saya mendengar tangisannya pada pukul 9.38 malam.
"Inilah amanah dunia dan akhirat. Semoga Allah permudahkan perjalanan saya sebagai seorang ibu," luahnya diruangan kapsyen.
Menerusi video berdurasi 3 minit 18 saat itu, aktres filem Bella & Jamie itu berkongsi detik dirinya sedang terbaring di wad hospital menunggu saat bersalin.
Pelbagai ragam yang dipaparkan mencuri tumpuan umum termasuklah gelagat suaminya yang kelihatan resah menunggu kelahiran anak sulung mereka yang kini sudah berusia lima bulan.
Perkongsian Juliana itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikut termasuklah rakan artis.
"Awww babe, saya masih ingat bagaimana rasanya. Tapi, awak kelihatan sangat cantik, walhal saya masih ingat lagi saya kelihatan seperti hantu Kak Limah sewaktu hari bersalin," tulis pelakon Ramona Zamzam.
Bahkan, ada yang menyifatkan video tersebut mengundang rasa sebak mereka yang pernah melalui saat sama bergelar ibu buat pertama kali.
"Sebak tengok video ni. Bila tengok baby semua sakit beranak hilang. Membesar dengan sihat baby Mily.
"Saya ingatkan saya seorang sahaja yang asyik tengok nombor kontraksi dekat skrin tu. haha. Bila datang kontraksi mesti tengok skrin," tulis sebahagian netizen.
Juliana mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, 31, pada 30 April 2017.