Aktres jelita Puteri Sarah akhirnya lantang memberi amaran secara terbuka kepada seorang individu yang didakwa mengganggu rumah tangganya.

Kata Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang juga merupakan anak kepada pelakon veteran Kazar masih mengganggu hubungan rumah tangganya dengan suami, Syamsul Yusof sejak empat tahun lalu.

“Daripada dulu sampai sekarang saya diganggu dengan akaun palsu, diganggu komen-komen yang menyakitkan hati tapi saya sabar.

“Anda kacau mental saya sejak 2019 lagi. Sampai kami (Puteri Sarah dan Syamsul) dah tak tinggal sebumbung, tak puas hati lagi ke? Apabila kami berbaik, anda ugut suami saya pula.

"Hari ini saya tengah sibuk dengan anak-anak, tiba-tiba saya terima berita yang menyakitkan. Selama ini, apa anda buat, anda ganggu saya, saya diamkan saja sebab nak jaga nama baik keluarga.

"Tapi kali ini rasanya anda sudah lebih sangat. Siap cakap fasal anak-anak saya. Anda hanya orang luar tak perlu masuk campur. Apa yang berlaku sekarang anda dan orang luar cuma tahu luaran sahaja," katanya menerusi Instastory pada Sabtu.

Dalam hantaran berbeza, Puteri Sarah turut mempertikaikan tindakan Ira yang dikatakan tidak putus asa mengacau suaminya.

Pada masa yang sama, Puteri Sarah turut memberi amaran kepada Ira supaya berhenti mengganggu hidupnya lagi.

"Kali ini cukuplah anda ganggu saya lagi bila saya nak pergi umrah. Empat tahun saya menanggung. Berhati-hati doa orang yang teraniaya, Allah akan makbulkan lagi-lagi di bulan puasa ini.

"Di bulan baik ini saya doakan kalian berdua, Ira Kazar dan suami (Syamsul Yusof) saya diberikan hidayah," ujarnya lagi.

Sebelum ini, kisah rumah tangga pasangan selebriti itu didakwa dilanda badai sehingga mereka sudah lama tidak tinggal sebumbung.

Malah, Puteri Sarah juga mendakwa suaminya itu tahu punca hubungan mereka dingin.

Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.