Jenama baru di bawah AirAsia.com, Ikhlas telah bekerjasama dengan ST Rosyam Mart dalam menghulur sumbangan barangan keperluan asas kepada lebih 1000 keluarga yang terjejas akibat krisis COVID-19.

Menurut pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor, peruntukan yang diberi dalam Kempen Derma Dengan Ikhlas bersama pihaknya itu adalah sebanyak RM50,000.

"Kita tahu dalam keadaan begini, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ekonomi jadi tak menentu dan orang ramai terkesan dari segi kewangan.

"Alhamdulillah, rakyat Malaysia ada tanggungjawab untuk membantu golongan kurang bernasib baik, peruntukan yang diberi adalah sebanyak RM50,000 dan kami telah mengenalpasti 1000 keluarga yang memerlukan bantuan.

"Jumlah keluarga itu turut merangkumi mereka daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pelbagai persatuan termasuklah Profima dan Perkhas bagi meringankan beban mereka," kata Rosyam ketika dihubungi Gempak.



Rosyam yang juga penerbit dan pelakon menambah, dia amat memahami kesusahan yang dialami segelintir penggiat filem ketika ini.

"Saya faham rintihan penggiat filem, saya juga pernah bekerja sebagai krew suatu ketika dahulu.

"Kebanyakan mereka bekerja secara 'freelance', kais pagi makan pagi, saya harap, bantuan ini mampu meringankan beban mereka," tambahnya.

Difahamkan, pihak ST Rosyam Mart telah mengenalpasti komuniti terjejas dari kawasan Lembah Kelang bagi menjayakan kempen itu.

Setiap keluarga menerima bantuan barangan asas seperti beras, tepung, gula dan sebagainya dengan peruntukkan keseluruhan RM50 setiap keluarga.