Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

“Saya Fikir Dunia Nak Kiamat Ke? Cukup Ke Amalan Saya?” - Nabil Imbau Ketika COVID-19 Melanda Dunia Dua Tahun Lalu

Izwan Isa
18/10/2021 11:50 MYT
Banyak hal-hal menarik yang dikongsikan oleh pengacara popular, Nabil Ahmad menerusi ruangan podcastnya bersama aplikasi Syok, Selebriti Podcast: Nabil Ahmad. Selain kisah kerjaya dan statusnya sebagai anak seni, Nabil turut berbicara mengenai jalur kehidupannya sebelum dia menyertai pertandingan komedi popular, Raja Lawak.
 
Menerusi enam episod podcast yang tersedia, terdapat satu episod yang memperlihatkan Nabil berkongsi cerita mengenai survivalnya mencari rezeki suatu ketika dahulu - iaitu bekerja sebagai dispatch pada siang hari dan berniaga burger pada sebelah malam.


 
Mengimbau kembali perjalanan hidupnya melakukan dua kerja dalam satu masa, Nabil berkata dia tidak terfikir sama sekali untuk berada di mana dia berdiri sekarang. Tutur Nabil, segala yang diraih adalah atas izin Allah SWT dan peluang yang diberikan oleh-Nya untuk mencari rezeki.
 
Katanya, jika ditakdirkan untuk kembali ke pekerjaan lama, dia tidak kisah dan sentiasa bersyukur dengan aturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
 
“Secara ikhlasnya, apa yang saya ada sekarang ini pun di luar pemikiran saya sendiri. Kita tidak pernah jangka pun yang hari ini kita boleh jadi anak seni. Tiada pun dalam cita-cita. Tetapi Allah SWT sudah takdirkan bahawa saya berada dalam kerjaya ini. Saya bersyukur sangat dan berdoa agar Allah SWT sentiasa berikan keberkatan dalam apa pun yang kita lakukan.
 
“Justeru, kalau ditakdirkan kembali berniaga burger, saya tetap bersyukur. Lihat sahaja ketika COVID-19 melanda dunia dulu dan kesan yang dialami oleh semua penduduk dunia. Saya fikir, dunia nak kiamat ke? Cukup atau tidak amalan saya? Jadi, kalau dapat berniaga burger dalam keadaan pandemik pun dah bersyukur sangat,” katanya kepada Gempak.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Nabilzira (@nabilzira)


Ramai yang memuji apabila melihat perubahan pada dirinya yang dilihat lebih menjurus ke arah agama. Begitupun, ramai juga tertanya, adakah Nabil akan terus berkarya sebagai anak seni atau perlahan-lahan hilang daripada radar dunia hiburan?
 
Menurut Nabil, dia sendiri kurang pasti adakah dia akan menghilang daripada dunia hiburan memandangkan rezeki dan ketentuan Allah SWT adalah rahsia.
 
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah memberi saya peluang ini (berubah). Berkenaan akan hilang daripada radar seni itu, saya kurang tahu. Takdir saya untuk dapat apa yang saya ada hari ini pun kerana Allah SWT. Jadi, apa yang Dia berikan itu, saya terima dan gunakan peluang yang ada ke arah kebaikan. Harap-harap tak hilanglah, insya-Allah,” tutup Nabil.
 
Selebriti Podcast: Nabil Ahmad boleh distrim menerusi aplikasi Syok. Muat turun aplikasi Syok menerusi AppStore dan Google Play.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!
#Nabil Ahmad #Podcast #SYOK #Kiamat