Penyanyi Amir Hasan berkongsi mengenai salah satu sebab utama dia menyertai Big Stage 2020.

Menurut Amir, antara sebab dia menyertai program tersebut adalah untuk menunaikan hasrat arwah bapanya.

"Salah satu sebab utama saya masuk Big Stage ini adalah untuk menunaikan hasrat arwah ayah, dia sudah lama mahu saya masuk pertandingan ini.

"Malah, sewaktu dia sakit di hospital pun dia ada tanya saya sama ada Big Stage akan diadakan ataupun tidak dalam tahun ini.

"Selepas arwah ayah saya meninggal, saya luangkan masa di kampung untuk jaga ibu, saya pula anak tunggal, sudah semestinya tanggungjawab itu ada pada saya seorang," katanya.

Amir berkata demikian ketika ditemui di sidang media Big Stage 2020 pada Selasa.

Tambah Amir, dia telah menguatkan diri untuk hadir ke uji bakat Big Stage 2020 sepuluh hari selepas bapanya meninggal.

"Saya datang ke uji bakat ketika sepuluh hari selepas arwah meninggal, sewaktu saya tahu saya dapat masuk, arwah sudah tiada, ia merupakan satu perasaan yang sukar diungkapkan.

"Saya hanya beritahu ibu saya, sudah tentu dia gembira dan pada masa yang sama sedih kerana arwah sudah tiada.

"Sebagai seorang anak tunggal, saya gagahkan diri dan harus lakukan yang terbaik," katanya lagi.

Terdahulu, bapa Amir, Abu Hasan Abdul Aziz meninggal dunia pada 5 Mei 2020 akibat mengalami kanser limfoma.

BACA : "Dugaan Ini Amat Berat..." - Bapa Amir Hasan Meninggal Dunia

BACA : [SENARAI PENUH]: Usop, Anak Jamal Abdillah Dan Doktor Gigi Viral Antara 12 Peserta Big Stage 2020