“Saya Hanya Ikut Kata Pengarah Untuk…”- Ruhainies Komen Terlalu Mesra Dengan Hero
Pelakon Ruhainies memberitahu kemesraan yang dilakonkan bersama hero dalam mana-mana drama semuanya dilakukan atas kehendak pengarah.
Malah kata Ruhainies atau nama penuhnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas. 29, apa yang dilakukan juga demi menjayakan watak.
“Pada saya apa yang saya lakonkan selama ini hanya mengikut kehendak karater dalam menjayakan watak.
“Saya hanya ikut apa yang pengarah mahukan saja,” katanya kepada Gempak ketika sidang media virtual Sayang Tak Dikenang yang turut menampilkan Fadzlan Hazim sebagai hero.
Ruhainies berkata demikian selepas ditanya mengenai dirinya sebelum ini yang pernah dikecam kerana terlalu mesra dengan aktor Zul Ariffin dalam sebuah drama.
Pun begitu Ruhainies yang juga merupakan adik kepada Riesteena Munim itu menambah dia masih tahu untuk menjaga batas.
“Selain ikut kehendak skrip dan pengarah, saya masih tidak melampaui batas,” jelasnya lagi.