Rakan kepada sutradara dan pelakon Syamsul Yusof, Mawi berharap agar kisah yang tular di media sosial mengenai keretakan rumah tangga pasangan sahabatnya itu tidak benar.

Kata Mawi, dia ada berhubung dengan Syamsul beberapa hari lalu namun tidak berbincang mengenai kisah peribadinya.

"Cerita ini saya tahu dari media dan Instagram.

"Beberapa hari lepas saya ada berhubung dengannya melalui voice note tapi tak ada bertanya apa-apa berkaitan dengan masalah peribadinya.

"Daripada perbualan pun semuanya okey dan dia tak ada menunjukkan sedang bermasalah.

"Saya harapkan cerita ini tak betul... Kita doakanlah," katanya kepada Gempak.

Mawi ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Nurflix, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Iskandar Malaysia Studios (IMS) dan Amazon Web Services (AWS) di Acapella Suite Hotel, Shah Alam pada Rabu.

Terdahulu, isteri kepada Syamsul, Puteri Sarah dilaporkan berada di pejabat agama dan enggan mengulas mengenai tindakannya itu.

Tinjauan di Instagram juga mendapati Syamsul dan Puteri Sarah sudah tidak mengikuti akaun masing-masing.

Kali terakhir mereka berkongsi foto bersama ketika sambutan Aidilfitri pada Mei lalu.