Hiburan
“Saya Kecewa Tetapi Reda...” - Isteri Shukri Yahaya Keguguran
Hasrat pelakon Shukri Yahaya untuk menimang cahaya mata kedua tidak tercapai apabila isterinya mengalami keguguran sekitar April lalu.
Menurut Shukri, isterinya Tya Adnan telah disahkan hamil sekitar Mac lalu namun kandungan itu hanya bertahan selama sebulan.
Meskipun kecewa, Shukri reda dengan kejadian itu dan menganggap bukan rezekinya.
“Isteri saya mengalami keguguran pada bulan April lalu selepas mengalami sakit perut, Alhamdulillah keadaannya baik-baik sahaja dan Insya-Allah kami akan usahakan untuk mendapat cahaya mata lagi.
“Sebenarnya saya berhasrat untuk menimang cahaya mata lelaki namun tidak kesampaian, saya akui kecewa tetapi reda dengan kehilangan itu,” katanya kepada Gempak.
Shukri berkata demikian ketika ditemui majlis pelancaran Festival Perlumbaan Toyota Gazoo bertempat di Subang Jaya sebentar tadi.
Shukri dan Tya mendirikan rumah tangga pada November 2015 dan dikurniakan seorang mata iaitu Aaira Ameena kini berusia tiga tahun.
Dalam pada itu, Shukri meneruskan tanggungjawab menjayakan kempen Festival Perlumbaan Toyota Gazoo untuk tahun yang ketiga.
"Saya suka dengan aktiviti permotoran dan gemarkan adrenalin, saya akan menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin," tuturnya menutup bicara.
Must-Watch Video