Penyanyi Benladin mengatakan dia berkecimpung dalam industri hiburan bukan bertujuan untuk mendapatkan wang semata-mata.

Menurut Ben, penglibatannya dalam bidang seni adalah disebabkan oleh minatnya yang mendalam.

"Saya berkecimpung dalam industri hiburan bukan kerana wang ringgit, tapi lebih kepada minat saya yang mendalam.

"Saya suka untuk berinteraksi di hadapan kamera sejak kecil lagi, saya rasa seronok melakukannya," kata Ben kepada Gempak.

Dalam pada itu, Ben menambah, dia mempunyai minat yang seimbang terhadap bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

"Minat saya terhadap semua bidang yang pernah saya ceburi adalah seimbang, jika berpeluang, pasti saya tak akan lepaskan peluang untuk melakukannya.

"Sejak kecil, saya sudah biasa menyertai pelbagai uji bakat, jadi, minat menyanyi, berlakon dan mengacara itu memang sudah lama ada dalam diri saya," tambahnya.

Ben kini tampil dengan single terbarunya yang berjudul Rampung.

Single tersebut merupakan hasil ciptaan Luca Sickta dan Siqma selaku penulis lirik dan digubah oleh Malique dan Luca Sickta.

Rampung boleh dimuat turun di iTunes dan stream menerusi semua portal muzik terpilih seperti Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music dan KKBox.

Muzik video rasminya pula telah ditayangkan di laman YouTube sebulan lalu dan mendapat tontonan sebanyak 1.7 juta.