Penyanyi Lah Ahmad bersyukur apabila tiket konsert ’25 Years Lah Ahmad Live In Concert’ yang akan berlangsung di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 28 Januari depan habis dijual dalam tempoh 24 jam.

Mengimbas kembali pembabitan awalnya dalam industri, Lah mengakui bukan mudah buatnya untuk menggapai kejayaan seperti hari ini.

“Selepas saya keluar VE sekitar 2017 dan berkahwin, jujurnya saya tiada apa-apa. Memang tempoh itu adalah zaman susah saya, apatah lagi saya memikul tanggungjawab berat sebagai suami.

“Sudahlah tiada ‘show’, saya masih ingat waktu itu saya hanya menjayakan dua ‘show’ dalam setahun. Saya lalui zaman susah sehingga tiada orang tolong saya.

“Saya juga pernah lalui zaman di mana saya pergi ‘show’, bawa CD dan pasang sendiri. Pengalaman ini tidak semua orang pernah lalui. Saya pernah merasa duduk di atas, kemudian Allah tarik macam itu saja selepas saya kahwin.

“Tapi kadang-kadang kita kena lalui semua itu, untuk jatuhkan ego kita dan sedarkan diri kita ini tidaklah bagus mana. Semua itu sebenarnya peringatan Allah, saya terima sebab bagi saya Allah mahu lembutkan kembali hati saya,” katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun, Lah turut berkata dia tidak pernah berasa menyesal apabila memutuskan untuk mengundurkan diri daripada VE dan memilih untuk membawa haluannya sendiri.

“Walaupun saya bermula dengan VE, saya sangat puas hati saya bergerak solo kemudiannya. Selepas bergerak solo, saya keluarkan album solo perlahan-lahan dan saya sukakan rentak itu.

“Saya suka perlahan-lahan naik sebab saya bukannya cari populariti. Saya hanya mahu seronok buat muzik. Saya mahu keluarkan lagu yang banyak sebab saya mahu buat kerja ini lama.

“Saya tak mahu lompat bidang misalnya ke bidang pemasaran. Saya mahu berada dalam bidang ini berpanjangan dan berkekalan. Jadi kalau mahu kekal, kita kena buat dengan cara yang elok,” katanya.

Konsert sulung Lah diadakan selepas pembabitannya selama 25 tahun dalam industri muzik tanah air dan juga ‘showcase’ pertaman pada 2018 mendapat sambutan yang menggalakkan.

Konsert itu akan menampilkan 20 buah lagu sepanjang karier nyanyiannya, termasuk album keempatnya yang berjudul Jatuh.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!