Pelakon Mei Fen Lim mendedahkan dia pernah menangis apabila mendengar lagu Warisan dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Situasi itu berlaku setelah dia memahami dan mendalami makna setiap perkataan dalam bahasa Melayu.

"Saya bermula dalam industri hiburan Melayu tanpa memahami maksud setiap perkataan pun.

"Malah, ketika pementasan teater Takhta 3 Ratu beberapa tahun lepas saya sekadar menghafal skrip.

"Namun, apabila saya mengerti setiap perkataan dalam lirik lagu Warisan, saya menangis!

"Ia sangat menyentuh hati dan membuatkan saya bersemangat serta berbangga menjadi seorang rakyat Malaysia," katanya.

Mei Fen, 31, ditemui pada majlis pelancaran teater Tanah Akhirku di Istana Budaya hari ini.

Selain menjadi pelakon utama untuk pementasan teater tersebut, Mei Fen juga diberikan tanggungjawab untuk menerbitkan naskhah yang pernah dipentaskan pada Januari lalu.

"Sebenarnya ini projek tahun akhir saya di Aswara namun saya ditawarkan untuk menerbitkan naskhah ini di pentas berprestij Istana Budaya.

"Siapa tidak gemuruh apabila mendapat peluang sebesar ini," tambahnya.

Teater Tanah Akhirku turut dibintangi Izzue Islam, Erma Fatima, Nina Nadira dan Angeline Tan.

Ia dijangka dipentaskan pada 28 Ogos hingga 2 September depan.

Teks oleh: Amri Hassan