HIBURAN

"Saya Menjerit Sakit, Terbayang Tulang Patah" - Ayda Jebat Alami Slipped Disc, Dengar Bunyi 'Pop' Ketika Nak Letak Kasut Anak Di Lantai

Amri Hassan 10/03/2025 | 02:55 MYT
Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat, 32, mengakui sukar mengubah sikapnya yang tetap mahu bekerja meskipun dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama sebulan akibat masalah slipped disc yang dialaminya sejak seminggu lalu.

BERITA TRENDING: Ayda Jebat Berehat Sementara Akibat Slip Disc, Mohon Doa Peminat

Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, keadaannya kini memerlukan pergerakan yang lebih berhati-hati agar kesihatannya tidak semakin terjejas.
“Doktor memang marah bila tahu saya degil dan masih lagi terus bekerja sebab dia nasihatkan berehat di katil sekurang-kurangnya sebulan. Tetapi nak buat macam mana komitmen kerja yang ada perlu diselesaikan juga.
“Saya akui, keluar sahaja hospital baru-baru ini, saya terus kerja, ada penggambaran termasuk datang ke Singapura ini untuk sertai Celebfest.
“Saya rasa itu satu tanggungjawab. Cuma saya perlu sangat berhati-hati dalam setiap pergerakan, jalan pun kena perlahan-lahan selain makan ubat yang doktor berikan.
“Insya-Allah selepas tamat karnival Celebfest ini saya akan rehat sekejap sehari dua,” katanya kepada Gempak.
Ayda ditemui di karnival beli belah Celebfest Ramadan yang berlangsung di Suntec, Singapura, baru-baru ini.

BERITA TRENDING: Konsep ‘The Hardest Show’ Atas Permintaan, Ayda Jebat ‘Enjoy’ Lakukan Aksi Ketika Buat Persembahan - “Kami Cuba Untuk Tidak…”

BERITA TRENDING: Tiada Keperluan Ambil Pengawal Peribadi, Ayda Jebat Hanya Mahu Peminat Beradab - “Saya Tahu Mereka Teruja Tapi…”

Berkongsi lebih lanjut, penyanyi lagu Nakal dan Temberang ini berkata doktor menasihatkannya untuk menjalani rawatan berkala, termasuk senaman dan pengambilan ubat secara konsisten.
“Semasa saya buat pemeriksaan dan fisioterapi baru-baru ini, doktor hairan kenapa bengkak pada bahagian belakang saya itu tidak surut-surut. Dia tanya sama ada saya buat kerja dan saya jawab ya.
“Doktor marah jugalah sebab dia suruh saya berehat, tetapi dia ada beritahu juga cara kerja bagi pesakit slipped disc. Apa yang perlu saya lakukan adalah buat rutin senaman dan makan ubat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayda mengakui masih tidak pasti punca sebenar bagaimana masalah kesihatan itu boleh berlaku.
“Kalau orang tanya macam mana terjadi, tak pasti apa puncanya. Ketika kejadian, saya hanya nak letakkan kasut anak di bawah selepas itu bila nak bangun tiba-tiba bunyi ‘pop’.
“Saya menjerit kesakitan sebab terbayang tulang patah. Saya juga tak boleh nak berdiri tegak. Suami saya pun terkejut tengok keadaan saya dan terus bawa ke hospital,”katanya.
Pada 1 Mac lalu, Ayda memaklumkan telah menerima rawatan di sebuah pusat perubatan selepas mengalami slipped disc ringan.
#pelakon #Penyanyi #Sakit #Ayda Jebat #Singapura #Berniaga #Slipped Disc #Nabil Mahir