Hiburan
"Saya Menyanyi Tanpa Bayaran Kerana..." - Bagio Damasutra
Penyanyi dan anggota kumpulan Damasutra, Bagio tidak kisah menyanyikan lagu patriotik yang berjudul Patriot Jaya Sayangi Malaysiaku secara percuma.
Menurut Bagio, dia menerima tawaran untuk menyanyikan lagu itu tanpa sebarang bayaran kerana menganggap ia sebagai satu sumbangan kepada negara menerusi bidang seni.
"Lagu Patriot Jaya Sayangi Malaysiaku ini adalah terbitan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), ia merupakan lagu patriotik sempena meraikan Kemerdekaan Malaysia yang ke-62 tahun ini.
"Meskipun tiada bayaran satu sen pun diberi untuk nyanyian lagu ini, namun saya tak kisah kerana ia merupakan satu bentuk sumbangan kecil yang boleh saya lakukan terhadap negara," ujarnya.
Bagio berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu tersebut bertempat di Petaling Jaya petang semalam.
Sementara itu, Bagio merasakan lagu itu menonjolkan kelainan kerana turut menampilkan penyanyi pelbagai bangsa.
"Lagu ini juga mempunyai keistimewaan dan keunikan kerana mengetengahkan penyanyi dari pelbagai bangsa.
"Ia menunjukkan semangat perpaduan dan kenegaraan yang kuat, semoga ia dapat memberi manfaat kepada pendengar," tambahnya lagi.
Selain Bagio, Patriot Jaya Sayangi Malaysiaku turut menampilkan beberapa penyanyi lain iaitu Reshma AF, Winnie K, Natasha Saas, Zairul, Thalia Mentor, Yana Yunus, Amir Aswady, Radhi Khalid dan Lobo Pang5.
Kredit Foto : MHE TV
Must-Watch Video