Jutawan kosmetik sensasi Datuk Seri Vida akhirnya tampil membuat permohonan maaf terbuka berhubung kritikan terhadap kempen #BenderaPutih seperti yang tular baru-baru ini.

Kata Vida, permohonan maaf itu dibuat bagi menjernihkan suasana dan menjelaskan kekusutan yang berlaku susulan daripada penyebaran video TikToknya.

"Saya harap kalau ada yang terkasar bahasa, terkeliru atau terasa apa yang saya cakap, saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak bermaksudkan nak sakitkan hati sesiapa.

"Tolong sampaikan kepada semua, saya tiada niat untuk membuatkan pihak terasa hati atau marah. Saya minta maaf deh...," katanya menerusi sesi siaran langsung Instagram pada Isnin.

Sesi siaran langsung itu bermula dengan alunan surah Ar-Rahman dalam nada sebak Vida.

Sementara itu, tegas Vida lagi, dia tidak berniat untuk merendah-rendahkan golongan susah dan kurang berkemampuan sebaliknya itu pandangan peribadi untuk menyeru orang ramai agar terus berusaha menjana pendapatan ketika pandemik.

"Tidak ada niat saya untuk nak meriyak walau sebesar zarah sekalipun, tak ada niat nak menyombong pun.

"Bila saya bagi contoh suruh meniaga itu ini, ramai pula salah faham. Saya pun bermula dengan tiada media sosial, susah nak minta bantuan.

"Tapi zaman sekarang semuanya mudah, jadi jangan berhenti berusaha," tambahnya yang menyeru orang ramai agar menyebarkan tanda pagar #usahajanganmalas.

A post shared by Dato' Seri Dr. Hajah Vida (@datoserivida)


Vida baru-baru ini dikecam netizen apabila mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlekehkan golongan yang terjejas yang terlalu mengharapkan bantuan daripada kempen #BenderaPutih.