Seorang remaja berusia 20 tahun memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak, khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menghina pasukan barisan hadapan itu.

Nursahira Mohd Mizuar, 20 yang juga seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman denda RM10,000 dan tiga bulan penjara kerana menghina polis di media sosial berkaitan wabak COVID-19 pada Mac lalu.

Nursahira berkata dia sangat menyesal dengan tindakan melulunya sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kasar terhadap anggota keselamatan yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas.

"Saya minta maaf kepada semua pihak terutama anggota polis, saya insaf dengan tindakan saya dan berjanji tidak akan mengulanginya dan akan patuh kepada PKP sehingga isu COVID-19 ini selesai," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Persiaran Kiara Mas, Pendang, Kedah.

Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Khamis lepas, membenarkan permohonan Nursahira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda terhadapnya, sehingga rayuannya terhadap hukuman berkenaan di Mahkamah Tinggi selesai.

Kisah Nursahira yang ditahan dan dihadapkan ke mahkamah selepas memuat naik komunikasi jelik melalui Facebook terhadap anggota polis tular di media sosial dan mendapat perhatian umum.

Marah Selepas Diarah Pulang

Nursahira dikatakan marah dengan tindakan polis yang mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul di Pendang pada 27 Mac lepas.

Kes Nursahira turut mendapat perhatian usahawan, Muhamad Azlan Abdullah @ Ali dari Besut, Terengganu, yang bersimpati dengan keluarga Nursahira dan bersedia menjelaskan kos guaman sehingga kes itu selesai, selain menjelaskan wang ikat jamin Nursahira sebanyak RM5,000.

Muhamad Azlan berkata, tindakannya membantu gadis itu bukanlah kerana bersetuju dengan perbuatan menghina pihak berkuasa, sebaliknya mahu insiden itu menjadi iktibar kepada semua pihak supaya tidak mudah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kepada sesiapa sahaja.

Tambahan pula katanya, ayah Nursahira memberitahu anaknya itu sedikit 'istimewa' dan memang tidak boleh berkasar kerana dia akan memberontak dalam diam.

Sumber: BERNAMA
Foto: BH Online, Google Image