"Saya Nak Anak Zodiak Libra" - Janna Nick Sedia Jadi Ibu, Rancang Ada Zuriat Tahun Depan
Asyikin Mayudin
07/07/2023 08:46 MYT
07/07/2023 08:46 MYT
Jadual kerjaya seni padat sehingga tahun hadapan, pelakon dan pengacara Janna Nick berkata dia tidak akan menolak sekiranya dikurniakan cahaya mata.
Janna yang baru saja bergelar isteri kepada pelakon Dini Schatzmann pada 10 Jun lalu mengakui dia dan suaminya merancang berhubung soal zuriat.
“Kita merancang, namun jujur saya cakap perjalanan kerjaya seni saya, sekarang ini jadual saya agak penuh sampai hujung tahun. Jadi ruang untuk kita ada cahaya mata itu kalau diberikan rezeki Alhamdulillah.
“Tapi seboleh-bolehnya saya nak anak saya zodiak Libra, jadi jika diikutkan pada tahun ini macam sudah tidak sempat. Entah kenapa saya meminati zodiak itu jadi InsyaAllah tahun depan.
“Itu kalau ada rezeki saya nak anak saya Libra. Apa pun kita hanya merancang saja,” kata Janna.
Berkongsi mengenai peralihan status, Janna memberitahu dia masih lagi menyesuaikan diri dengan peranannya sebagai isteri.
“Masih lagi dalam fasa tengah cuba untuk menyesuaikan diri. Biasalah, sebelum ini hidup bujang. Masih kekok bila orang mengucapkan tahniah dan sebagainya, rasa malu pun ada juga.
“Saya hendak sebut suami pun rasa macam malu. Bila berada dalam industri ini saya masih lagi fokus dengan kerjaya saya dan kerjaya saya yang saya hendak hebah-hebahkan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Yang Best Bangun Pagi Ada Orang Kemaskan Katil”- Janna Nick Seronok Dibahagiakan Dini Schatzman
ARTIKEL BERKAITAN: Lenyapkan Teka-Teki, Janna Nick & Dini Schatzmann Selamat Bernikah Secara Tertutup
“Bukan hal peribadi dan saya anggap hal rumah tangga dan keluarga dalam skop peribadi saya. Oleh itu, saya akan cuba seboleh-boleh untuk cuba asingkan peribadi dan juga kerjaya,” ujarnya.
Terdahulu, Janna selamat bergelar isteri kepada aktor Dini Schatzmann dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di Langkawi.