Pelakon dan pemenang Dewi Remaja 2019, Shaza Bae mahu merebut pelbagai peluang dalam industri hiburan selagi berkesempatan.

Menurut Shaza, dia kini semakin aktif dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

"Alhamdulillah, saya aktif melibatkan diri dalam dunia lakonan dan pengacaraan selepas penyertaan saya dalam Dewi Remaja.

"Kita tahu selepas Dewi Remaja dahulu, kita mula berhadapan pandemik COVID-19 ini, mula-mula terhenti seketika penggambaran, tetapi sejak diberi kelonggaran dengan SOP tertentu, sudah ada beberapa drama yang saya berlakon

"Apabila ditanya arah mana yang lebih cenderung, lakonan atau pengacaraan? Saya mahu dua-dua! Saya tamak!," selorohnya.

Jelas Shaza, dia mahu merebut peluang yang ada selagi usia masih muda dan dikurniakan tenaga.

"Bak kata orang, selagi kita boleh buat, usia pun masih muda dan boleh kesana kesini, jadi, saya tak memilih.

"Saya rebut sahaja peluang yang ada, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya bekerja keras," tuturnya menutup bicara.

Dalam Dewi Remaja 2019, Shaza telah menumpaskan empat finalis lain iaitu Adriana Ghafar, Nynaa Harizal, Shatirah Amanda dan Syamira Izzati.

Manakala Sharlina Gilbert memenangi kategori Dewi Kegemaran dan Nina Amin dinobatkan sebagai Dewi Inspirasi.