Seorang kanak-kanak berusia dua tahun hampir menjadi mangsa seekor ular sama apabila haiwan tersebut melingkari bahagian bahunya.

Difahamkan kejadian berkenaan berlaku di Kampung Gangsa Durian Tunggal, Melaka, Sabtu lalu.

Menurut ibu kanak-kanak tersebut, Nurul Fatehah Amran, 24, kejadian disedari sekitar jam 9 malam apabila dia masuk ke bilik untuk menukar pakaian anaknya.

“Masuk je bilik saya ternampak benda berkilat dan bercorak batik bergerak-gerak di bahu anak.

“Ketika itu anak sedang nyenyak tidur.

“Walaupun takut tetapi saya terus angkat dia dan panggil suami serta abang yang berada di rumah.

“Abang kemudian menghubungi panggilan kecemasan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, dia bersyukur kerana anaknya tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu menurut Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom, empat anggota dikejarkan lokasi untuk operasi menangkap ular selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 malam.

"Setiba di tempat kejadian, didapati ular sawa masih berada di bawah bantal.

“Kami mengambil masa lebih kurang 15 minit menangkap reptilia seberat enam kilogram itu sebelum dilepaskan ke habitat asal jauh dari kawasan perumahan," katanya.

Apapun, ketika musim panas ini, berhati-hatilah dengan ‘tetamu’ yang tidak diundang.

Sumber : Sinar Harian