Madu kepada pelakon Miera Liyana, Adibah Abdul Mutalib kecewa apabila seorang lagi anaknya iaitu Nurin Tasnim, 11, diambil suaminya, Rosland Othman tanpa pengetahuannya.

Menceritakan kembali pada hari kejadian, Adibah panik apabila sepatutnya mahu menjemput anaknya pulang tapi terpaksa menunggu sehingga dua jam di sekolah kerana bayangnya tidak kelihatan.

"Pada Rabu lepas sewaktu kokurikumlum di sekolah saya terpaksa menunggu sehingga dua jam serta mencari anak ketika mahu menjemputnya pulang ke rumah.

"Kemudian saya pun seperti sudah dapat 'instinct' ketika itu mungkin bapanya yang ambil. Apabila saya mengubungi suami, baru dimaklumkan anak ada bersamanya.

"Saya rasa sangat kecewa sebab dia ambil tanpa beritahu saya sendiri. Kalau beritahu mungkin tidaklah sakit hati ini. Bukan nak dihormati tapi sekurang-kurangnya hormatilah saya sebagai ibu kepada anak-anak," katanya.

Adibah ditemui Gempak selepas selesai tuntutan Hadanah yang pertama terhadap hak penjagaan anak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan petang tadi.

Namun sebutan kes Hadanah bakal dibicarakan kembali pada 8 Jun depan selepas pihak Adibah tidak bersetuju dengan tuntutan hak penjagaan terhadap dua orang anaknya, Nur Anisa, 12, dan Tasnim.

"Tentang tuntutan hak penjagaan anak-anak yang difailkan suami saya faham dia ada hak tapi saya sebagai ibu juga mahu untuk mempertahankankan hak saya," tegasnya.

Setakat ini, dua anaknya itu berada bersama Rosland tanpa kerelaan Adibah.

Sementara itu, Adibah tetap dengan pendiriannya yang masih mahu mempertahankan rumah tangganya yang dibina selama 28 tahun itu meskipun sudah dikecewakan beberapa kali.

"Saya tetap dengan pendirian mahu menyelamatkan rumah tangga sedaya yang boleh.

"We don't like to be separated tapi apa-pun kita serahkan pada mahkamah untuk membuat keputusan," ujarnya.



Pada prosiding perbicaraan kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah pagi tadi, Rosland memberitahu tidak pernah mengabaikan nafkah terhadap isteri pertama dan anaknya meskipun sedang melalui perbicaraan kes nusyuz.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik itu mendakwa memberi nafkah antara RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan.

Sebelum ini, Rosland turut memfailkan cerai terhadap Adibah mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, Adibah menolak permohonan cerai yang difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.

Rosland dan Adibah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima anak yang kini berusia 11 hingga 26 tahun.

Pada 25 Julai 2020, Rosland berkahwin dengan Miera Leyana dan dikurniakan seorang cahaya mata.