"Saya Perlu Terlibat Dengan 3 Drama Untuk ....." - Scha Alyahya

Kamaruddin Razal
Oktober 17, 2018 23:37 MYT
Pelakon dan pengacara jelita, Scha Alyahya mengakui dia perlu terlibat dengan tiga buah drama dan mengacarakan satu program untuk terus kekal relevan.
Biarpun Scha mempunyai personaliti menarik serta disenangi peminat dan rakan media, isteri kepada pengacara Awal Ashaari itu tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak aktif dalam dunia hiburan.
"Selepas berkahwin, keluarga menjadi keutamaan saya. Namun begitu, saya tidak boleh terus melupakan bidang hiburan kerana ia merupakan minat dan punca pendapatan. Saya perlu mencari formula untuk memastikan saya aktif dan terus kekal relevan.
"Saya perlu mengatur masa dengan baik. Setiap tahun, saya perlu pastikan yang saya terlibat dengan tiga buah drama dan mengacarakan satu program. Banyak tawaran yang datang, jadi saya perlu meneliti dan memilih mana yang baik untuk portfolio seni saya," katanya.
Tambah Scha yang bakal menjadi hos untuk program pencarian Dewi Remaja 2018 /2019, dia mahu mengekalkan momentum kerjayanya sebagai seorang pengacara dan pelakon.
"Momentum perlu dikekalkan. Jika kena dengan masanya, saya akan mengambil lebih banyak projek. Tetapi, keluarga tetap menjadi keutamaan nombor satu," katanya lagi.
Scha ditemui di set penggambaran webseries Dua di Seksyen 7, Shah Alam pada Isnin.
Menerusi drama bersiri arahan Michael Ang ini, Scha memegang watak antagonis bernama Daniella.
Selain Scha, webseries ini turut menampilkan Sweet Qismina, Sarifah Sakinah dan Ben Amir.
Drama bersiri Dua ini bakal ditayangkan secara eksklusif di portal Gempak pada awal November ini.
#pelakon #Scha Alyahya #Pelakon