Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Saya Pernah Alami 'Mental Breakdown' & Ini Yang Saya Buat..." - Daiyan Trisha

Amri Hassan
23/10/2017 07:00 MYT
Penyanyi dan pelakon cantik, Daiyan Trisha mengakui dia pernah mengalami kemurungan dan fasa 'mental breakdown' tahun lalu selepas tiga tahun bergelar artis.

Kata Daiyan, 24, dia berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan pelajaran, kerjaya, peribadi dan keluarga hingga gagal mencari jalan penyelesaian dan tempat untuk mengadu.

"Kemurungan yang saya lalui tidak teruk sampai perlu mengambil ubat-ubatan namun saya berdepan pengalaman 'mental breakdown'sepanjang tempoh itu.

"Saya tidak tahu dengan siapa mahu bercakap dan meluahkan apa yang saya pendam sampailah saya terpaksa menangis seorang diri.

"Pelbagai masalah datang serentak! Masalah peribadi, keluarga, kerjaya dan pelajaran sampaikan saya sendiri mempersoalkan perkara yang tidak patut.

"Jadi, apa yang saya lakukan ialah saya mencipta sebuah lagu tentang masalah mental berjudul Kita Manusia untuk memberikan kesedaran bahawa tidak salah untuk bersedih namun sebagai manusia kita perlu bangun balik dan tidak mudah menyerah," katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran single Kita Manusia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kita Manusia merupakan pencetus kepada kempen #KitaManusia yang ditujukan kepada mangsa kemurungan, buli dan individu berdepan masalah mental.

Lagu itu ditulis sendiri oleh Daiyan dan dicipta bersama dengan Omar K.

Uniknya, menerusi muzik video Kita Manusia, Daiyan menampilkan individu yang pernah mengalami masalah mental termasuk model terkenal Alicia Amin.

Dalam perkembangan lain, Daiyan bakal muncul dalam drama bersiri Coffee Prince bersama Janna Nick dan Fattah Amin selain filem Busker yang akan ditayangkan pada awal tahun depan.


Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @daiyantrisha
#pelakon #Penyanyi #Daiyan Trisha #Pelakon #Penyanyi #Daiyan Trisha #Kita Manusia
;