Pelakon Fimie Don mengakui pernah berhasrat meninggalkan dunia lakonan sehinggalah pengarah Heykal Hanifah datang kepadanya memberi tawaran.

Menurut Fimie, dia pernah berada di zaman kejatuhan dan tidak mendapat sebarang tawaran kerja selama satu tahun.

“Saya pernah berada di zaman kejatuhan saya, yang menyelamatkan saya, yang tuhan salurkan rezeki adalah melalui abang Heykal

“Setahun saya tak shoot, abang Heykal datang…Menyebabkan saya di sini hari ini, di sini,” katanya ketika sesi sidang media secara virtual Ali Alia baru-baru ini.

Tambah Fimie lagi Heykal juga individu yang berjaya mengembalikan semangatnya untuk terus berjuang di pentas lakonan.

“Masa tu saya masih bekerja di Sunway Lagoon. Bila abang Heykal datang saya tolak tawaran daripada dia.

“Saya kata saya nak berhenti, tapi dia kata tak payah nak berhentilah…Tapi masa tu saya ego, saya kata tak nak!

“Apa yang saya lakukan ketika itu, saya membentak. Menyalahkan takdir! Kenapa tuhan buat saya macam ni? Masa aku ada kerja, tiba-tiba datang tawaran berlakon.

“Masa saya tak ada job, tak ada apa-apa pula yang Dia bagi. Sampai ke tahap itu. Saya menangis, mengadu kepada abang Heykal.

“Sejujurnya kalau abang Heykal tak panggil saya berlakon dalam salah satu drama beliau, mungkin sampai sekarang saya tak berlakon kot,” katanya.

Dalam pada itu Fimie atau nama sebenarnya Shafimie Saedon, 23, yakin bakatnya masih dihargai ramai.

Fimie juga tidak mengulas panjang mengenai ‘trend’ semasa yang lebih memandang jumlah pengikut di laman sosial untuk diambil berlakon.

“Jika bercakap soal jumlah pengikut di media sosial, itu adalah permintaan stesen TV dan kita tidak boleh buat apa.

“Cuma sebagai pelakon, saya cuba melakukan yang terbaik untuk setiap peluang diberikan. Saya percaya ada pengarah yang masih mementingkan bakat melebihi hal-hal lain.

“Saya juga yakin penonton kini lebih menghargai kualiti cerita dan bakat pelakon, bukan populariti semata-mata,” katanya.

Drama bersiri ‘Ali Alia’ ialah sebuah karya yang mengangkat genre kekeluargaan dan hubungan kasih sayang berkisarkan tentang pasangan suami isteri, Amir dan Mazni yang dihimpit dengan kemelut rumah tangga sehingga mahu mengakhirinya dengan penceraian.

Keputusan tersebut menjadi titik punca yang menyebabkan anak mereka, Ali dan adik kembarnya yang autistik, Alia lari dari rumah kerana amat tertekan dengan pertelingkahan yang berlaku di antara ibu bapa mereka.

Idea asal drama ‘Ali Alia’ 13 buah episod terbitan syarikat produksi, Luqsar Kreatif Sdn. Bhd ini dicetuskan oleh bekas pengacara dan pelakon terkenal sekitar tahun 90-an yang kini aktif dalam bidang penulisan serta pengarahan, Rina Khan serta turut menampilkan sutradara berkaliber, Heykal Hanifah selaku pengarah.

Drama ini dibintangi oleh Fimie Don, Erynne Erynna, Rusdi Ramli dan Faezah Elai selaku teraju utama di samping barisan pelakon handalan seperti Fahrin Ahmad, Usop Wilcha, Sabrina Ali, Faradhiya, Rashid Jaafar, Sharifah Juairiah, Jay Iswazir, Kodi Rasheed dan Mior Hashim Manap.

Drama ‘Ali Alia’ bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 24 Ogos 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.