Pelakon Marvel Studios' Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings, iaitu Meng'er Zhang akui dia tidak mempunyai sebarang pengalaman serta kepakaran dalam bidang seni mempertahankan diri.

Menurutnya, dia boleh dikatakan hadir dengan ‘tangan kosong’ ketika dipilih membawakan watak Xu Xialing.

“Secara jujurnya saya tidak pernah ada sebarang latar belakang dalam ‘martial art’.

“Untuk filem Shang Chi, mereka ‘terbangkan’ saya empat bulan awal sebelum penggambaran.

“Apa yang saya boleh katakan sesi latihan sangat mencabar.

”Biarpun agak ‘intense’, namun ia satu pengalaman yang menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media secara virtual baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai sesi uji bakat dan bagaimana dia memperoleh watak tersebut, Meng'er Zhang berkata dia tidak menyangka akan menyertai produksi Marvel Studio.

“Sebenarnya saya tak tahu pun audition untuk filem Marvel. Saya hanya tahu mereka perlukan pelakon yang boleh bercakap bahasa Inggeris dan Chinese.

“Jadi saya pun hantar ‘tape’ uji bakat dan akhirnya mendapat panggilan balik daripada mereka. Saya kemudian diminta untuk ‘screen test’ bersama Simu Liu.

“Ketika itulah baru saya tahu, saya datang untuk berlakon filem Shang Chi,” katanya.

Tambahnya, lima hari kemudian dia ada menerima satu mesej panjang lebar daripada pihak peguamnya.

“Saya tak baca sangat kesemuanya tapi bila saya terus ‘scroll’ ke bawah, saya nampak ‘welcome to Marvel Universe’.

“Saya tergamam,” katanya.

Untuk rekod, selain Meng'er Zhang dan Simu Liu, antara pelakon hebat membintangi Marvel Studios' Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings termasuklah Awkwafina, Datuk Michelle Yeoh, Tony Leung dan ramai lagi.

Filem epik arahan Destin Daniel Cretton ini mengisahkan tentang pemuda bernama Shang-Chi yang perlu membanteras kejahatan yang dilakukan oleh organisasi misteri.

Walau bagaimanapun, dalang sebenar organisasi itu akhirnya terdedah dan Shang-Chi terpaksa berdepan dengan musuh paling sukar dalam hidupnya.

Sejauh mana hebatnya musuh tersebut, anda perlu tonton filem terbaru Marvel Studio ini yang mula ditayangkan pada 30 September.