Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

"Saya Pun Tidak Setuju Dana Khusus Atau Khas Daripada Kerajaan Untuk Selebriti .." - Khai

Zulaikha Yusof 30/03/2020 | 09:44 MYT
Penyanyi, Khai mendedahkan telah menerima 5,000 komen negatif di media sosial selepas menyuarakan pandangan mengenai bantuan kepada golongan artis.
Jelas Khai, dia tidak memerlukan bantuan tersebut namun sekadar mewakili penggiat seni yang tidak berkemampuan.
"Saya mintak maaf kalau terpaksa padam kenyataan saya semalam di semua media sosial saya.
"Paling teruk di Facebook personal saya smpi 5,000 komen yang berunsur negatif sahaja. Saya tidak suka publisiti sebegitu rupa. Allahuakbar niat saya di salah ertikan.
"Hanya Allah sahaja yang tahu. Saya bersuara sekadar mewakili sahaja tak lebih daripada itu. Bukan untuk saya dan isteri pun.
Saya hanya berkongsi pengalaman selama 17 tahun menjadi seorang anak seni bukannya mudah," tulisnya di laman Twitter.
Tambah Khai, dia akui pernah melalui fasa susah bersama isteri yang juga teman seangkatannya dalam Akademi Fantasia (AF), Rosma ketika berada dalam industri seni.
"Memang benar lepas berkahwin hidup kami sangat getir ketika itu walaupun kami berdua suami isteri bergelar selebriti.
"Jadi saya tahu keadaan ketika susah sebagai anak seni itu macam mana, walaupun gah di mata semua kerana kami dilahirkan dalam sebuah realiti program yang sangat popular pada tahun 2003.
"Ya ada zaman kemuncak kami tapi kami mengaku kami alpa kerana kami masih muda dan tiada siapa yang membimbing kami dalam bab pengurusan kewangan ketika itu. Tetapi pengalaman mendewasakan kami.
"Itu yang saya ingin luahkan. Jangan lah disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Niat saya hanya mewakili rakan artis yang memerlukan sahaja sebab kami tahu keperitannya ketika zaman kejatuhan sebagai anak seni. Tapi kami bersyukur kami mampu keluar dari keperitan itu setelah kami berniaga," luahnya lagi.
Dalam pada itu, pemilik nama Khai atau nama sebenarnya Mohammad Khairul Nizam bersetuju untuk tidak menyediakan dana khusus kerana berpendapat artis setaraf dengan rakyat biasa.
"Selepas utusan daripada perdana menteri kita tempoh hari, saya amat berterima kasih kepada perdana menteri menyediakan peruntukkan yang besar kepada rakyat dan tidak terkecuali juga untuk anak-anak seni yang memerlukan ketika ini.
"Saya pun tidak setuju dana khusus atau khas daripada kerajaan untuk selebriti. Sebab selebriti pun rakyat biasa juga.
"Peruntukkan yang dah ada ni pun dah memadai sangat-sangat. Sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang memerlukan di sangat getir ini. Bersyukurlah...
"Sekali lagi saya minta maaf jika saya menyinggung mana-mana pihak walaupun niat saya disalah ertikan. Jadi marilah kita saling maaf bermaafan sesama insan. Tidak perlu bertelagah yg mensia-siakan dan menambahkan lagi dosa. Allahuakbar...
"Yang penting sekarang kita sama-sama jaga diri, keluarga dan urus kewangan kita sebaik mungkin sebab kita tidak tahu lagi apa yang bakal terjadi di masa akan datang. Sama-sama lah kita berdoa," tulis Khai.
Terdahulu, Black Hanifah, Tomok dan Shuib Sepahtu antara yang dikecam selepas berharap agar kerajaan tidak meminggirkan kumpulan penggiat seni dengan memberi bantuan khusus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
BACA: “Harap Tak Terlepas Pandang Anak-Anak Seni” – Artis Perlu Bantuan Kerajaan, Ini Pandangan Tomok
BACA: “Sebelum Ni Artislah Yang Menghiburkan Anda…”- Netizen Persoal Sumbangan Selebriti, Shuib Sepahtu Buka Mulut
#Khai #PKP #Dana Khusus
;