Hiburan
"Saya Punya Rekod Bersih Dalam Industri" - Amyza Aznan Kemukakan Saman RM5 Juta
Mungkin buat kali pertama berlaku dalam sejarah industri seni tanah air apabila pelakon Amyza Aznan mengemukakan notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi berjumlah RM5 juta terhadap peguam yang mewakili pelakon Zarina Anjoulie, Nurul Hafidzah Hassan.
Dalam notis yang disampaikan melalui The Law Chambers of Fauzi & Naseer, Amyza menuntut permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari serta bayaran ganti rugi kerosakan berjumlah RM5 juta.
Ia susulan tindakan Hafidzah yang mengeluarkan kenyataan berunsur tohmahan dan fitnah yang jelas merosakkan reputasi Amyza sebagai artis di media sosial milik Hafidzah dan laporan media.
Minggu lalu, Amyza membuat pengumuman dengan meminta Hafidzah datang menyerahkan dokumen kepadanya sendiri.
Peguam Amyza, Naseer Yusof berkata, permohonan maaf itu perlu dilakukan di media sosial, penerbitan media serta sidang akhbar dan selepas itu barulah budi bicara akan dilakukan terhadap tuntutan ganti rugi itu.
"Sekiranya ia tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari, maka kita akan memfailkan saman di mahkamah," katanya.
Naseer bersama seorang lagi peguam, Fauzi Abdul Samad serta Amyza hadir ke pejabat Hafidzah di Shah Alam untuk menghantar notis itu, semalam. Bagaimanapun, Hafidzah tiada di pejabat dan notis itu diserahkan kepada kakitangannya.
"Saya membuat tuntutan ini bagi membersihkan nama saya. Selama ini semua sedia maklum saya mempunyai rekod bersih dalam industri hiburan. Kenyataan yang dilemparkan oleh Hafidzah benar-benar menjejaskan reputasi saya dalam bidang seni.
"Apa yang dikatakan peguam itu adalah satu penghinaan dan fitnah. Apa yang saya lakukan ini adalah usaha menjaga nama baik saya untuk terus bertahan dalam industri seni hampir lebih dua dekad," kata Amyza lagi.
Menurut Amyza, antara kenyataan fitnah yang dikeluarkan Hafidzah menerusi laporan media terbabit adalah mengatakan tindakan Amyza dan pelakon, Emelda Rosaila sebagai kempen pembunuhan karakter terhadap Zarina yang berniat jahat.
Amyza dan peguamnya Naseer datang ke pejabat peguam Zarina untuk meminta dokumen-dokumen tuntutan yang difailkan Zarina kerana serahan yang dibuat Hafidzah sebelum ini dihantar ke alamat yang bukan diduduki oleh Amyza.
"Kami berharap segala dokumen dapat diserahkan kepada kami secepat mungkin untuk memasukkan memorandum kehadiran dan pembelaan.
"Bagaimanapun, ketika kami ke pejabat Hafidzah bagi meminta dokumen, kakitangannya memaklumkan segala dokumen sudah diserahkan ke alamat akhir Amyza.
"Saya juga ada meminta kepada kakitangannya mengenai nombor guaman untuk saya membuat carian di e-kehakiman tetapi nombor itu tidak dikongsikan," kata Naseer.
Sebelum ini, Zarina menerusi peguamnya menghantar dua surat tuntutan berasingan terhadap Emelda dan Amyza yang menuntut permohonan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta, iaitu tuntutan RM3 juta daripada Amyza dan RM1 juta daripada Emelda.
Amyza dikatakan berdiam diri sehingga minggu lalu Amyza membuat kenyataan supaya Hafidzah datang ke Astro untuk menyerahkan sendiri dokumen tersebut.
Must-Watch Video