Pelakon Remy Ishak mendedahkan dia kini sedang berehat panjang daripada sebarang aktiviti seni.

Tidak mahu mengulas lanjut mengenai keadaan dirinya yang terkena gangguan, Remy mahu mengambil masa sehingga penghujung 2019 untuk menenangkan fikiran.

“Alhamdulillah, saya semakin sihat. Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya.

“Buat masa sekarang saya sedang berehat daripada sebarang aktiviti seni di samping sibuk mempromosikan jenama Origina.

“Sepanjang tempoh ini, saya banyak habiskan masa di rumah bersama dengan keluarga,” jelasnya kepada Gempak.



Remy ditemui di sesi ‘meet and great’ produk minuman Origina bersama peminat di Sunway Pyramid sebentar tadi.

Tambah Remy, kesihatan dirinya lebih menjadi keutamaan berbanding tawaran-tawaran berlakon yang terpaksa ditolak sepanjang tempoh berehat.

“Inilah tempoh paling lama saya ambil untuk berehat sepanjang menjadi anak seni.

“Saya ada menerima pelbagai tawaran tetapi hanya selepas tempoh berahat saya tamat,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Remy mendedahkan terkena gangguan dan telah dirawat menerusi kaedah perubatan Islam.

Sedikit info tentang aktivitinya sekarang, selaku duta bagi produk Origina, Remy bangga apabila produk itu telah melancarkan minumannya di Watsons seluruh Malaysia.