Pasangan selebriti, Ayda Jebat dan Nabil Mahir terpaksa menjalani proses kuarantin selepas seorang tetamu di sebuah program disertai mereka disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Nabil sendiri menerusi satu posting di Instagramnya.

Menurut Nabil, 32, dia hanya mengetahui individu tersebut positif lima hari selepas mereka menjalankan penggambaran program itu.

Menurutnya, biarpun keputusan ujian saringan semua yang terlibat adalah negatif, namun pengacara itu tetap mengurungkan dirinya di bilik selama 14 hari.

"Individu tersebut tidak mempunyai simptom pun. Tapi semua orang kena la lakukan ujian saringan dan kuarantin.

"Alhamdulillah, keputusan swab test semua yang terlibat termasuk saya negatif dan saya pun dah selesai jalani kuarantin dalam bilik," katanya.

Berkongsi pengalaman berkurung, Nabil berkata dia membuat persediaan awal dengan membeli tong sampah besar supaya tiada sebarang sisa makanan atau bekas keluar dari biliknya.

"Saya memang berhati-hati sebab nak jaga keselamatan keluarga dan semua orang di sekeliling.

“Bila dapat tahu individu itu positif, saya terus hubungi keluarga.

"Sebelum masuk rumah, minta bibik spray saya dengan sanitizer, dah macam mandi.

"Terus ke bilik dan apa-apa yang dihantar seperti makanan atau bekasnya, saya buang dalam tong sampah yang saya sudah siapkan awal-awal lagi," katanya.