Bekas peserta program bercorak keagamaan, Da’i Syed dilepaskan dengan ikat jamin di kedua-dua Mahkamah Shah Alam dan Petaling Jaya hari ini.

Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful bersyukur apabila diikat jamin sebanyak RM35,000 selepas 19 hari menjalani tahanan reman.

“Alhamdulilah saya sihat dan semuanya baik-baik saja. Selepas keluar ini saya mahu makan bersama keluarga dan meluangkan masa bersama mereka.

“Saya nak ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kebaikan untuk saya.

“Cuma buat masa ini saya perlukan masa dan ruang sedikit untuk pulihkan jiwa dan mental saya. Saya akui sedih, cuma mampu berdoa,” katanya.

BACA: Da’I Syed Mengaku Tidak Bersalah Merogol

Terdahulu, pendakwah selebriti itu terpaksa bermalam sehari lagi di Pusat Tahanan Reman Sementara Beranang, Semenyih meskipun wang ikat jamin yang ditetapkan mahkamah sudah dijelaskan semalam.

Hal ini kerana Da’i diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu

Pada 10 Dis lalu, Da’i Syed ditempatkan di pusat tersebut selama tiga hari kerana pihak penjamin tidak dapat melunaskan wang jaminan yang ditetapkan mahkamah ekoran kekangan waktu.

Syed Shah Iqmal, 25, dihadapkan ke Majistret dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Dia juga dihadapkan dengan pertuduhan rogol di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Untuk pertuduhan cabul, mahkamah membenarkan Syed Shah Iqmal diikat jamin sebanyak RM5,000 dan bagi pertuduhan seks luar tabii RM20,000 manakala bagi rogol RM10,000.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu Syed Shah Iqmal tidak menganggu mangsa.

Sumber: mStar