Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

“Saya Selalu Ternantikan Nyanyian Arwah” - Siti Nurhaliza Kenang Momen Indah Bersama Adibah Noor, Sempat Juga Untuk...

Hanafis Haris
19/06/2022 07:00 MYT

Pemergian Allahyarhamah Adibah Noor petang semalam turut memberi kesan terhadap penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menerusi satu posting terbaru di Instagramnya, Siti berkongsi pandangannya terhadap keperibadian mulia pelantun lagu Terlalu Istimewa itu.

“Salam Takziah buat keluarga arwah kak Adibah Noor. Semalam semasa pengajian bersama Ustaz Wadi Anuar di rumah, saya dapat berita pemergian insan yang disayangi ramai.

“Sempat kami beramai ramai mendoakan arwah.

“Kak Adibah sepanjang mengenalinya seorang yang sangat disenangi, suka berjenaka, tak lokek ilmu, merendah diri dan penghibur sejati.

“Saya selalu kagum bila dengar arwah bercakap apatah lagi bila menyanyi. Bila dalam satu majlis, saya akan sentiasa ternanti nanti nyanyian arwah, istimewanya arwah.

“Tapi kini Arwah telah pergi meninggalkan kita pulang ke negeri abadi.. Kita juga akan pulang bila sampai masanya,” katanya.

Tambah Siti, dia memohon orang ramai untuk banyakkan sedekah surah Al-Fatihah untuk Allahyarhamah.

“Marilah sedekahkan Al Fatihah kepada arwah yang pernah buat kita ketawa & menyentuh hati kita dengan kebaikannya.

“Semoga Arwah ditempatkan bersama insan terpilih disana. Ya Allah ampunilah dia dan kasihanilah dia Ya Allah,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat Kuala Lumpur pada jam 11.31 pagi tadi.

Ratusan hadirin termasuk ahli keluarga, sahabat dan rakan artis tampil memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Antara rakan selebriti yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah penyanyi dan komposer Datuk M.Nasir, Anuar Zain, Datuk Hans Isaac, dan pelakon Remy Ishak.

Untuk rekod, industri seni dikejutkan dengan pemergian sebutir permata yang disayangi ramai, Allahyarhamah Adibah Noor.

Arwah sebelum ini pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV8).

Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 6.00 petang Sabtu di Hospital Gleneagles.


 
#Siti Nurhaliza #Adibah Noor #Adibah Noor Meninggal Dunia