Hiburan
"Saya Sendirian Atas Bukit Kemudian Nampak Awan Terbentuk Kalimah Allahuakbar!" - Chef Wan Imbas Kenangan Haji
Cef selebriti terkenal Datuk Chef Wan berkongsi momen nostalgik wukuf di Padang Arafah ketika menunaikan ibadah haji kali kedua sekitar tahun 2004.
Kata Chef Wan, dia berkesempatan menyaksikan sendiri fenomena pembentukan awan berbentuk kalimah Allahuakbar ketika bersendirian di puncak bukit ketika iut.
"Wow tahun itu ketika saat hampir terbenam matahari kami semua menyaksikan awan berbentuk kalimah Allahuakbar di langit.
"Ia turut dilaporkan di CNN.
"Saya ketika itu sedang berada di puncak bukit bersendirian dan saya terkejut.
"Apabila pulang ke kem, semua bercakap mengenai fenomena terbabit.
"Malangnya saya tidak membawa kamera bersama saya ketika itu dan tidak dapatlah merakamkan fenomena tersebut.
"Ramai jemaah haji ketika itu sempat merakamkan fenomena itu menerusi lensa kamera masing-masing," kongsi Chef Wan.
Chef Wan turut memanjatkan rasa syukur kerana mampu menghantarkan kedua-dua orang tuanya mengerjakan haji terlebih dahulu sebelum dia sendiri dijemput menjadi tetamu Allah.
"Haji pertama saya sekitar lima tahun sebelum itu, lebih kurang setahun selepas saya menghantarkan kedua-dua ibu bapa saya menunaikan haji.
"Saya sangat berbangga dapat menghantar ibu dan bapa saya hasil daripada titik peluh sendiri.
"Insya-Allah kalau ada rezeki saya ingin menunaikan ibadah haji sekali lagi," tambahnya.
Kisah itu sedikit sebanyak mengimbau semula kenangan jemaah haji yang turut bersamanya ketika itu.
"Datuk ingat lagi banjir di Mina balik Makkah bas berhenti jauh tak boleh masuk jalan kaki sampai tempat penginapan," tulis @rosmimdsaman.
"Tahun yang sama saya menunaikan ibadah haji kali kedua. Khemah kita bersebelahan sahaja. Tahun sama juga kejadian tsunami berlaku," tambah @zeeghazee.
Tahun ini, ramai dalam kalangan selebriti tempatan dijemput untuk menunaikan ibadah haji antaranya Erra Fazira, Wany Hasrita, Neelofa, Datin Seri Umie Aida, Aris Ariwatan, Ashraf Muslim dan PU Riz.
Must-Watch Video