Pengacara Datuk AC Mizal menegaskan dia tidak lagi bersama dengan stesen televisyen yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini iaitu Awesome TV.

Malah, AC Mizal berkata dia tidak lagi mahu dikaitkan dengan stesen televisyen tersebut.

“Sebelum ini, kami memilih tidak mendedahkan perkara ini sebagai menghormati keputusan Awesome TV yang masih ingin meneruskan hasrat mereka.

“Tapi untuk mengelakan kekeliruan mengenai status saya dengan Awesome TV. Saya ingin menjelaskan saya sudah tiada kaitan lagi dengan mereka.

“Namun saya tidak boleh menghalang Awesome TV meneruskan rancangan menubuhkan stesen itu,” jelasnya kepada Gempak.

AC Mizal ditemui selepas pelancaran Idealiyst Biocare Products di Flora Terrace, kelmarin.

Pun begitu AC memberitahu dia bakal muncul dengan stesyen televisyen miliknya sendiri yang dijangka bakal dilancarkan pada April ini.

“Fokus kami kepada stesen baru yang dalam proses pembinaan dan produksi.

“Mengikut perancangan, kami ingin memperkenalkan lima saluran tetapi kos satu saluran pun amat tinggi. Jadi, kami akan usahakan satu persatu,” katanya lagi.

Terdahulu, AC pernah memiliki stesen radio online Peace Yall FM, namun ia hanya bertahan selama dua tahun sahaja.