HIBURAN
“Saya Suka Bereksperimen Dengan...” - Ben Amir Kongsi Tips Jaga Rambut
Pelakon Ben Amir mendedahkan dia suka bereksperimen dengan stail rambut untuk kepelbagaian karakter yang diterimanya.
Kini tampil dengan imej rambut panjang, netizen turut memuji dan menggilai rambut ikal Ben yang pada mereka, lebih cantik daripada rambut kebanyakkan wanita.
“Sejujurnya, stail sekarang paling sesuai dengan muka saya. Tapi, sebagai pelakon saya tak boleh simpan lama rambut panjang ni.
"Kalau karakter seterusnya memerlukan saya potong pendek rambut sekarang ni, saya harus memotongnya.
“Saya tak guna terlalu banyak bahan kimia untuk rambut. Hanya guna bahan-bahan semulajadi dan kaedah tradisional.
"Lagipun, bila kita menjamah makanan sihat, bersenam, jaga dalaman, ia akan jelas terpancar pada kulit, mata dan rambut kita,” jelasnya ketika dihubungi Gempak.
Apabila ditanya usikan netizen tentang wajahnya yang dikatakan lebih cantik berbanding aktres Mira Filzah, gandingannya menerusi drama terbarunya berjudul Sweet Dreams, Ben ketawa.
“Cantik eh? Lepas ni saya berlakon jadi heroin pulalah, bukan hero,” selorohnya.
Drama Sweet Dreams arahan Michael Ang yang diadaptasi daripada sebuah novel judul sama karya Acik Lana itu akan menemui penonton Ogos nanti di slot Megadrama Astro Ria.
Must-Watch Video