Aktor kelahiran Singapura, Hisyam Hamid mengakui bersyukur apabila dikurniakan seorang isteri yang memahami tugasannya sebagai seorang pelakon.

Menurut Hisyam, sebagai seorang pelakon dia harus bijak dalam membezakan diantara realiti dan kerja supaya tidak menguriskan hati isterinya, Melrose Hanafi.

"Saya tahu sebagai wanita pasti ada perasaan cemburu apabila saya bergandingan dengan wanita lain.

"Namun, sebelum itu saya akan menceritakan terlebih dahulu mengenai keperluan babak kepada isteri supaya dia memahami dan tidak timbul salah faham.

"Namun, jika hatinya terguris saya sebagai seorang suami harus mencari jalan untuk memujuk dia.

"Alhamdulillah, setakat ini isteri saya faham dan tidak pernah meletak syarat atau menyenarai hitam pelakon tertentu kerana saya tahu batas sebagai suami," katanya kepada Gempak.

Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Rocketfuel Entertainment, di The Bee, Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2 September 2006 dan dikurniakan dua orang anak.