Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

"Saya Tak Ambil Hati, Cuma…" - Soffi Jikan Ulas Status Hubungan Dengan Farid Kamil

Zulaikha Yusof
06/03/2020 08:39 MYT
Pelakon Soffi Jikan akui tetap mendoakan kejayaan pelakon Datuk Farid Kamil walaupun mereka pernah mengalami kemelut persahabatan sebelum ini.

Kata Soffi, dia sudah tidak mengambil hati namun untuk mendapatkan keserasian atau bersahabat kembali seperti dulu, perkara itu agak sukar dilakukan.

"Saya tak ambil hati. Saya doakan dia berjaya, cuma agak sukar untuk dapatkan 'chemistry' seperti sebelum ini.

"Dulu saya pernah 'be there for him' tapi sekarang kena jaga diri masing-masing.

"Kami tak ada isu dan saya tak bermusuh dengannya. Sebab semua orang adalah musuh saya. Tidak ada kawan di sekeliling saya," katanya kepada Gempak.



Soffi ditemui pada majlis tayangan amal filem Jodoh Syaitan dan penyerahan sumbangan amal untuk Rumah Anak Yatim Datuk Faridah di e@curve Damansara, Petaling Jaya semalam.

Turut hadir, Tengku Baharuddin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, merangkap Pengerusi Kumpulan Sun Century.

Dalam pada itu, pelakon KL Gangster itu menjelaskan dia tidak mempunyai masalah sekiranya suatu hari nanti menerima tawaran berlakon bersama Farid.

"Kalau nak saya berlakon boleh jadikan saya berkawan dengannya. Namun dalam kehidupan realiti, jadikan saya musuh dia," katanya sambil ketawa.



Terdahulu, Farid menamakan Soffi sebagai antara tiga individu yang disyaki meletakkan dadah dalam minumannya.

Susulan itu, pada 31 Julai tahun lalu, pelakon yang terkenal dengan tagline 'kasi sengat' itu dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan kerana menggunakan ganja, selain diperintah berada bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan selama tiga tahun.

Selain Soffi, filem ini turut dilakonkan oleh barisan pelakon hebat antaranya Aprena Manrose, arwah Abam Bocey, Jay Iswazir, Kamarul Yusoff, Fauziah Nawi dan ramai lagi.

Soffi akan memulakan Jelajah Promosi Filem Jodoh Syaitan bermula di Kuantan pada 6 hingga 8 Mac, diikuti Sungai Petani, Alor Setar pada 10 hingga 12 Mac. Kemudiannya, akan bergerak ke Melaka (13 Mac), Batu Pahat (14 Mac) dan Johor Bahru (15 Mac).

Filem Jodoh Syaitan ini telah memulakan tayangan di pawagam seluruh negara sejak 5 Mac.
#Farid Kamil #Soffi Jikan