Pelakon Zahiril Adzim mendedahkan dia perlu banyak berlatih babak pertarungan dan belajar seni mempertahankan diri, Muay Thai demi menjayakan watak dalam filem Siku 12.

Jelas Zahiril, 38, dia perlu banyak berlatih menjiwai babak pertarungan kerana tiada asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai mahupun seni persilatan Melayu.

"Mujur saya ada pengalaman belajar Muay Thai ketika berlakon dalam filem Bunohan. Sedikit sebanyak membantu saya di lokasi penggambaran filem Siku 12.

"Pada masa sama, saya menjalani latihan bersama ahli Kelab Pon Muay Thai, Kedah untuk menguasai babak bertinju dan pertarungan sebelum memulakan penggambaran.

"Setiap kali berlakon dalam filem aksi, saya tidak boleh mengelak mengalami lebam di tangan dan calar di kaki atau sakit badan.

"Begitu juga dalam filem Siku 12. Ia perkara biasa apabila berlakon dalam filem aksi kerana perlu nampak seperti peninju sebenar beraksi di gelanggang.

"Antara cabaran lain dihadapi ialah saya perlu menguasai dialek Siam untuk menjiwai karakter A Wut. Mujur saya dibantu ahli kelab Pon Muay Thai yang berdarah kacukan Melayu-Siam ketika di lokasi penggambaran," katanya.

Zahiril puji Syafiq Kyle

Mengenai gandingan dengan Syafiq Kyle, kata Zahiril, pelakon muda itu bagus dan mudah mendapat keserasian dengannya.

"Sebelum memasuki lokasi penggambaran, Syafiq sudah membuat kajian mengenai watak. Syafiq juga berbincang dengan saya bagaimana mahu membangunkan karakter mengikut tuntutan skrip filem.

"Apapun, saya sudah berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuan," katanya.



Dalam perkembangan lain, kata Zahiril, dia gembira melihat sambutan penonton pada filem tempatan di pawagam ketika ini.

"Alhamdulillah, selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan disusuli filem The Assistant dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, saya percaya filem Siku 12 akan mendapat sambutan dan diterima peminat filem.

"Saya berharap filem Siku 12 akan membuka mata ramai pihak memperkenalkan seni mempertahankan diri yang ada di Malaysia," katanya.

Filem Siku 12 diterbitkan oleh Power Team Entertainment Sdn Bhd. Ia dimantapkan dengan barisan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Filem Siku 12 akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober ini. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.