Penyanyi dan pengacara Ifa Raziah menyanggah khabar angin yang mendakwa timbulnya isu mencaras susulan penganjuran Star Vendors Raya Fest yang akan berlangsung pada Ramadan akan datang.

Kata Ifa atau Saripah Raziah Mustapha, 44, kewujudan festival membeli-belah anjurannya itu mengikut ketetapan prosedur pihak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selaku penyedia lokasi acara.

"Saya akui, saya memang pernah menjalin kerjasama dengan penganjur sebelum ini yang pernah mengadakan festival di PWTC. Cuma, pada tahun ini, saya pula bertindak sebagai penganjur merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors.

"Tak wujud langsung isu caras mencaras sesiapa. Saya tak ada masalah dengan penganjur sebelum ini. Dakwaan yang mengatakan saya mencaras penganjuran festival membeli-belah 72 jam yang berlangsung setiap tahun di PWTC selama ini tidak benar.

"Tawaran untuk menganjurkan festival Star Vendors Raya Fest ini baru sahaja diterima daripada pihak PWTC semalam," kata Ifa.

Ifa ditemui pada sidang akhbar pendaftaran Star Vendors Raya Fest yang diadakan di PWTC sebentar tadi.

Tambah Ifa, sebagai usahawan, dia juga melalui proses pitching untuk mendapatkan lokasi bagi mengadakan festival terbabit.

"Selama dua minggu, saya dan team berurusan dengan pihak PWTC sebelum diberi kepercayaan oleh mereka untuk menjadi penganjur selepas membuat bayaran untuk tempahan lokasi.

"Saya berharap penjelasan ini dapat menjernihkan segala kekeliruan yang mungkin wujud dalam kalangan peniaga selama ini," katanya lagi.

Festival yang bakal berlangsung pada 24 Mei hingga 26 Mei nanti bakal menampilkan penglibatan lebih 40 artis dalam dan luar negara.