Hiburan
"Saya Tak Kejam Nak Biarkan Mereka" - Syafinaz Selamat Sanggup Labur Duit Untuk...
Penyanyi dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat sanggup mengeluarkan wang demi menghasilkan lagu untuk dua orang anak didiknya.
Pensyarah muzik berusia 45 tahun ini berbesar hati melaburkan duit sendiri untuk menghasilkan lagu raya berjudul RahmatNya.
Lagu terbabit menyaksikan kolaborasi Syafinaz bersama dua penyanyi baru, Lazarul dan Ranisha.
Lazarul dan Ranisha merupakan protege Syafinaz dalam program realiti Mentor 7 yang bersiaran hujung tahun lalu.
"Lagu raya berjudul RahmatNya dilancarkan sempena sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini. Ia mendapat sentuhan Ku Sham dan lirik oleh Zaira.
"Pasangan suami isteri ini merupakan sahabat lama saya. Berkolaborasi dengan dua anak didik, saya menggalas tanggungjawab besar terhadap mereka.
"Saya yang membawa mereka masuk ke dalam industri menerusi program realiti terbabit... Jadi, biarlah saya yang memulakan langkah mereka dalam bidang nyanyian menerusi lagu RahmatNya.
"Selepas tamatnya Mentor 7, Lazarul dan Ranisha sepi tanpa sebarang perkembangan yang memberangsangkan dalam industri ini biarpun mereka merupakan penyanyi yang bagus.
"Saya tak kejam nak membiarkan mereka tergapai-gapai, jadi saya lorongkan ruang dan peluang untuk mereka membina dan mengukuhkan tapak dalam bidang ini," katanya lagi.
Tambah juri tetap AF Megastar ini, lagu RahmatNya adalah lagu raya pertama yang dirakamkan sejak bergelar penyanyi kira-kira 30 tahun lalu.
"Sebenarnya, tak pernah terlintas di ruang fikiran saya sendiri untuk menghasilkan lagu raya. Tetapi, impian itu timbul semenjak tiga tahun kebelakangan ini.
"Akhirnya, hati saya terdetik untuk merakamkan lagu raya seminggu sebelum bulan puasa bermula. Saya terus terfikirkan ini merupakan peluang untuk dua anak didik saya dan saya mahu berkolaborasi dengan mereka," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Syafinaz bakal muncul dengan sebuah lagu solo berjudul Persis Salju selepas tamatnya sambutan Aidilfitri.
Penyanyi ini juga dalam rencana untuk muncul dengan sebuah album penuh yang dijangka terbit pada tahun hadapan.
Must-Watch Video