Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Saya Tak Kenal & Tak Tahu Siapa" - Pengarah Ada Apa Dengan Dosa Nafi Plagiat Idea Asal Orang Lain

Amri Hassan
16/06/2020 02:41 MYT
Pengarah filem Ada Apa Dengan Dosa, Rahila Ali menafikan dakwaan bahawa dia telah memplagiat idea asal individu lain.

BACA: Individu Ini Dakwa Idea Asal Filem Ada Apa Dengan Dosa Adalah Miliknya?

Jelas Rahila, idea untuk menghasilkan Ada Apa Dengan Dosa tercetus setahun sebelum penggambaran filem itu dimulakan.

"Saya kecewa dan sedih apabila ada pihak yang mendakwa mereka pemilik idea asal filem ini.

"Sedangkan saya sendiri yang memikirkan jalan cerita dan menulis skrip filem ini sampai 13 kali draf bersama Rudy Imran dan kumpulan saya.

"Kawan-kawan rapat saya tahu saya nak buat cerita ini selepas balik dari Iceland pada tahun 2017.

"Sebab itulah adanya nama Aurora sebagai watak utama dalam filem ini," tegas Rahila.

Rahila bagaimanapun tidak menyangka hingga ada pihak yang mengaku menulis skrip hingga memberitahu akan ada kesinambungan filem ini sedangkan kami sendiri pun belum putuskan apa-apa lagi.

"Sebelum ini ada yang maklumkan mengenai perkara ini (claim) tetapi saya bersangka baik, anggap ia sekadar satu apresiasi dan sebahagian daripada promosi.

"Saya tak mahu memburukkan mana-mana pihak memandangkan latar belakang keluarganya pun baik-baik.

"Jadi, saya membalasnya dengan ucapan terima kasih. Jujur saya tak kenal dan tak tahu siapa individu itu.

"Kurang moleklah untuk 'claim' idea asal filem ini dia punya sebab memang faktanya itu hak saya.

"Kalau betul idea asal milik dia, buktikan. Tiada apa yang saya perlu takutkan.

"Cerita ini mungkin kebetulan sama sebab isu ini pernah berlaku sehingga sekarang tanpa kita sedar. Isu idea asal ini subjektif, sesiapa saja boleh 'claim'. Tapi dia tak buat skrip dengan pasukan kami," tambahnya.

Bagaimanapun, Rahila terbuka untuk bersemuka dengan individu tersebut sekiranya perlu.

Hal yang sama diluahkan oleh penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa, Datuk Ayu Puteh.

"Saya sendiri brainstorm idea filem ini bersama pengarah dan Rudy Imran. Ini orang dari mana pula?" kata Ayu.

Terdahulu, ada pihak yang tampil mendakwa idea asal filem Ada Apa Dengan Dosa diilhamkan daripadanya.

Malah, individu tersebut turut mengakui naskhah itu sedang diusahaka untuk kesinambungan kedua tidak lama lagi.



Ada Apa Dengan Dosa mengisahkan kehidupan seorang gadis yang dibesarkan dalam keluarga freethinker bernama Aurora (Wanna Ali) yang mendapat tahu identiti sebenarnya dari keluarga beragama Islam.

Lebih mengejutkan apabila Aurora adalah seorang anak luar nikah hasil daripada keterlanjuran perbuatan seorang pendakwah dan ibu kandungnya.

Kesannya, Aurora hampir membunuh diri namun kehidupannya berubah selepas bertemu dengan Khaliq (PU Riz).

BACA: "Kapala Pening!" - Slang English Wanna Ali Dibuat-Buat? Ini Kata Empunya Diri

BACA: "Ustaz Juga Pendosa!" - Ini Antara Pengajaran Dari Filem Ada Apa Dengan Dosa


BACA: Adam Corrie Elak Berlakon Bersentuhan Dengan Pelakon Wanita Bukan Mahram - "Ada Banyak Cara Zahirkan Perasaan Romantik"

BACA: Bawa Watak Gadis Tiada Agama, Wanna Ali Sedia Dikecam


Filem yang diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records itu dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

Ada Apa Dengan Dosa telah mula ditayangkan di saluran Astro First (480) sejak 4 Jun.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Ada Apa Dengan Dosa selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem Ada Apa Dengan Dosa, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.
#Rahila Ali #Ada Apa Dengan Dosa #Claim
;