Pelakon, penyanyi dan pengacara jelita Erra Fazira mengakui tidak meminati filem seram tetapi mengambil risiko meneriwa tawaran melakonkan watak Nor dalam Wangi.

Erra berkata dia mengambil tawaran berlakon dalam filem genre seram dan psiko thriller itu kerana tertarik dengan kelainan skripnya.

“Saya tak selesa berlakon filem seram sebab nak tonton pun tak minat apatah lagi melakonkannya. Lagi pun jiwa tak tenang kalau berlakon filem seram ni.

“Sebenarnya awal-awal dulu saya tak tahu Wangi cerita seram tetapi hati terbuka untuk terima tawaran produser filem itu kerana skripnya menarik.

“Pada masa sama, saya tertarik dengan gabungan mantap pelakon seperti Nabila Huda, Sharnaaz Ahmad dan Syazwan Zulkifli,” katanya kepada Gempak.

Ditanya tentang cabaran melakonkan filem Wangi, Erra berkata sukar untuk dia menjiwai watak Nor.

“Ia bukan perkara mudah kerana saya memang tidak minat menonton cerita seram. Saya perlu bercakap seorang diri dan membayangkan makhluk halus itu di sebelah. Ada babak seram yang mayat juga muncul depan mata,” katanya.

Filem Wangi arahan Yeop Hitler dan terbitan Resilience Studio Sdn Bhd sudah mula ditayangkan pada 26 Jun lalu di platform talian ewayang.com.

Talian ewayang.com yang dibangunkan sebagai alternatif bagi menayangkan filem ketika pandemik Covid-19 disambut baik penerbit filem tempatan.

Selepas filem TyIcKooUnS arahan Izan Hailmey Mokhtar menjadi karya pertama ditayangkan pada 22 Mei lalu, kini giliran filem Wangi dan Geran pula menyusul untuk ditayangkan kepada peminat.

Wangi pernah menemui peminat di pawagam pada 5 September tahun lalu dan kini memilih platform ewayang.com sebagai langkah untuk memperluaskan lagi tayangan ke serata dunia.

Sementara itu, filem Geran terbitan Layar Picture Sdn Bhd yang mengangkat seni silat Melayu bakal menyusul untuk dipertontonkan di platform ini.

Pengurus Projek ewayang.com, DjPool Soul Masters berkata, platform ini dibangunkan bermatlamat membantu semua pengkarya melangkah lebih jauh dalam memartabatkan perfileman Malaysia ke serata dunia.

"Ia juga bagi menyahut seruan kerajaan dalam menjalani kehidupan dan normal baharu disebabkan pandemik Covid-19. Melalui tontonan terus, ewayang.com membawakan pawagam terus mendekati peminat tak kira di mana mereka berada,” katanya.

Menurutnya, pengasas ewayang.com mengharapkan platform ini dapat membantu pengkarya untuk terus berkarya dalam memartabatkan industri perfileman ke peringkat global.

"ewayang.com membawa demokrasi dalam dunia perfileman tanpa prejudis. Peluang dibuka kepada semua penerbit dan pengarah filem serta drama dalam menjayakan ewayang.com dengan menayangkan karya mereka di platform ini.

"ewayang.com juga berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyokong platform ini," katanya.